Ibu pejabat PBB dibuka semula

NEW YORK, 21 JULAI – Ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York semalam memulakan fasa pertama pembukaan semula selepas ditutup selama empat bulan berikutan penularan COVID-19, lapor agensi berita Xinhua.

“Fasa pertama bermaksud tidak lebih 400 orang akan berada di pejabat pada hari tertentu,” kata jurucakap Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres,  Stephane Dujarric, dalam satu taklimat.

“Setakat ini, kami mempunyai kira-kira 200 hingga 300 petugas dan perwakilan PBB yang sudah kembali bekerja,” tambah beliau.

“Jadi, pertambahan kepada 400 agak sedikit dan tidak menunjukkan banyak perbezaan,” kata Dujarric sambil menambah fasa kedua akan dilaksanakan secara bertahap.

Pada hari bekerja biasa, kira-kira 11,000 orang termasuk kakitangan PBB, perwakilan dan pelawat memasuki bangunan ibu pejabat itu.

New York City masuk fasa keempat pembukaan semula kelmarin.

Sebelum ini, semua kakitangan di ibu pejabat PBB di New York, diminta bekerja dari rumah bermula 16 Mac dan 12 April, kemudian dilanjutkan hingga 30 April, 31 Mei, 30 Jun dan 31 Julai. – Bernama