Ibu pejabat Uber dikekalkan di Singapura

SINGAPURA, 30 JULAI – Uber akan mengekalkan ibu pejabat Asia di Singapura untuk sekarang, kata firma perkhidmatan kereta itu hari ini, menyalahkan ketidakpastian peraturan yang mendorongnya membatalkan rancangan untuk berpindah ke Hong Kong.

Keputusan itu diambil beberapa minggu selepas China mengenakan undang-undang keselamatan negara ke atas Hong Kong, walaupun Uber tidak menyebut peraturan tersebut dalam pengumumannya.

Syarikat itu mengumumkan pengurangan pekerja beramai-ramai pada Mei disebabkan koronavirus, dan berkata ia bersedia untuk memindah pusat serantaunya ke bandar China itu jika terdapatnya kemajuan mengenai peraturan di sana.

Uber telah beroperasi di Hong Kong selama beberapa tahun meskipun dianggap tidak sah di sana dan berdepan tentangan kuat dari industri teksi tempatan.

Semasa mengumumkan keputusan, Uber berkata dalam satu kenyataan bahawa ia ‘telah melihat sokongan awam terhadap pembaharuan di Hong Kong tetapi bukannya kepastian yang kami perlukan dari kerajaan.’

“Kami telah memutuskan untuk mengekalkan Singapura sebagai hab serantau untuk jangka sederhana,” tambah kenyataan.

Ibu pejabatnya di Asia akan kekal di Singapura sehingga 2022, paling awal. Pejabatnya di negara kota itu mempunyai kira-kira 90 pekerja. – AFP