Monday, October 7, 2024
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu pengsan anak dihukum gantung

    KUALA LUMPUR, 3 Feb – Seorang ibu pengsan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas mengetahui anaknya dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

    Wanita itu pada mulanya kelihatan tenang semasa Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Nordin Hassan menjatuhi hukuman terhadap anaknya, Hoo Moon Hong, 37, tetapi ketika jurubahasa menjelaskan keputusan mahkamah selepas prosiding, wanita tersebut tiba-tiba pengsan. Dia ditenangkan oleh anggota keluarganya selepas sedar daripada pengsan.

    Terdahulu, mahkamah menjatuhi hukuman gantung sampai mati terhadap Hoo, pemilik kedai aksesori dan rakannya, Ng Kim Chong, 37, seorang kontraktor, selepas didapati bersalah mengedar pelbagai jenis dadah seberat 250.2 gram, dua tahun lalu.

    Nordin menjatuhi hukuman itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan setelah pembelaan tidak berjaya menyangkal anggapan pemilikan dan pengedaran dadah tersebut.

    “Tertuduh pertama (Ng) mengakui ada menerima satu beg plastik dan diletakkan di belakang kereta, tetapi menafikan beg plastik itu berisi dadah. Saksi pendakwaan ke-10 (SP10) iaitu seorang inspektor polis pula menyatakan dadah ditemui (di dalam bungkusan di dalam kereta itu).

    “Saya tidak dapat lihat apa-apa alasan SP10 yang menjalankan tugas itu menganiaya tertuduh mengatakan plastik berisi dadah telah dirampas. Keterangan SP10 adalah konsisten dan diterima,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda