Sunday, February 16, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Ibu segala bom’ bunuh puluhan militan IS

    JALALABAD, Afghanistan, 14 April – Bom bukan nuklear terbesar tentera Amerika Syarikat (AS) membunuh berpuluh-puluh militan Islamic State (IS) tatkala ia memusnahkan tempat persembunyian mereka di pergunungan, kata para pegawai Afghan hari ini, mengetepikan sebarang kecederaan atau kematian orang awam.

    Bom Kelengkapan Letupan Udara GBU-43/B – lebih dikenali sebagai ‘Ibu Segala Bom’ (Mother of All Bombs) – telah didedahkan dalam peperangan buat pertama kalinya, melanda kedudukan IS di timur wilayah Nangarhar semalam.

    Pengeboman itu dijangka akan menghakis keupayaan IS di Afghanistan dan menghantar amaran kepada kumpulan Taliban menjelang serangan musim panas tahunan mereka.

    “Akibat pengeboman itu, tempat persembunyian utama Daesh (IS) telah dimusnahkan dan 36 pejuang IS terbunuh,” kata kementerian pertahanan dalam satu kenyataan, menambah bahawa pengeboman itu dilakukan dalam koordinasi bersama pasukan tentera tempatan.

    Bom besar itu, dihantar menerusi kapal terbang pengangkutan MC-130, mempunyai letupan bersamaan dengan 11 tan TNT. Ia pada mulanya digunakan untuk menakutkan musuh supaya mereka meninggalkan kawasan berkenaan.

    Pasukan keselamatan Afghanistan mengambil bahagian dalam operasi berterusan menentang IS di daerah Achin, wilayah Nangarhar Afghanistan pada 14 April. – AFP
    Pasukan keselamatan Afghanistan mengambil bahagian dalam operasi berterusan menentang IS di daerah Achin, wilayah Nangarhar Afghanistan pada 14 April. – AFP

    Letupan itu bergema sejauh berbatu-batu dan melingkungi kawasan terpencil dalam kebakaran besar, memusnahkan apa yang para pegawai gelar rangkaian terowong bawah tanah IS dan gua yang telah dilombong bagi menentang serangan lapangan konvensional.

    Pengeboman itu berlaku di tengah-tengah ketegangan global meningkat ketika tentera AS meningkatkan serangan udara ke atas kumpulan jihad global.

    Trump memuji misi di daerah Achin itu sebagai ‘sangat, sangat berjaya’.

    Sumber tentera Afghanistan memberitahu AFP dari lokasi yang tidak didedahkan bahawa penduduk tempatan telah menggambarkan tanah bergegar ‘seperti gempa bumi’, dengan ramai yang terpelanting akibat letupan berkenaan.

    “Ramai yang mula meninggalkan kawasan itu bimbang lebih banyak pengeboman berlaku,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda