Ibu tinggalkan anak damit di lapangan terbang dicari

DOHA, 26 OKT – Penumpang wanita yang menaiki penerbangan dari Qatar tertakluk kepada pemeriksaan ketat selepas penemuan anak damit pramatang yang ditinggalkan di bilik mandi lapangan terbang antarabangsa Doha, mengikut satu laporan media yang di-sahkan oleh AFP.

Pegawai lapangan terbang tidak menafikan berlakunya insiden itu dan sedang menyoal siasat penumpang wanita bagi mengenal pasti ibu kepada anak damit berkenaan yang dipercayai masih hidup. Pihak berkuasa juga membuat rayuan bagi mengesan keluarga kepada anak damit itu.

Anggota keselamatan memantau penumpang wanita yang tidak didedahkan jumlahnya di lapangan terbang Doha dan mereka diperiksa sekiranya ada tanda-tanda baru melahirkan anak.

“Pihak berkuasa menggesa penumpang wanita melakukan pemeriksaan antaranya saringan pap smear,” kata seorang sumber berkaitan insiden itu kepada AFP. Insiden itu dilaporkan buat pertama kali oleh media Australia, Seven Network selepas pemeriksaan membabitkan penumpang pesawat Qatar Airways, penerbangan QR908 menuju ke Sydney dilakukan pada 2 Oktober lalu.

Selain itu, difahamkan wanita dari negara dan penerbangan lain turut dipantau, bagaimanapun maklumat lanjut mengenai kes itu masih belum diketahui kerana ia berada di peringkat siasatan.

Lapangan terbang Doha semalam membuat rayuan supaya ibu anak damit berkenaan tampil kepada pihak berkuasa. “Anak damit berkenaan masih belum dapat dikenal pasti identitinya tetapi selamat di bawah jagaan pegawai perubatan dan sosial profesional,” katanya dalam satu kenyataan. – AFP