Wednesday, October 9, 2024
24.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ibu tunggal bina rumah idaman melalui YouTube

    SUKAR untuk dipercayai, sebuah keluarga yang tidak mempunyai pengalaman pembinaan berjaya membina sebuah rumah dua tingkat yang mempunyai lima buah bilik tidur dengan hanya menonton video-video tutorial dari YouTube.

    Cara Brookins dan empat orang anaknya membuktikan perkara itu ternyata tidak mustahil. Cerita menakjubkan ini sekarang dibukukan dengan tajuk ‘Rise, How a House Built a Family’.

    Pada tahun 2008, Cara Brookins meninggalkan suaminya seorang pendera dengan membawa empat orang anaknya untuk mencari kehidupan yang lebih baik. Mereka berpindah ke rumah kecil di Little Rock, Arkansas untuk sementara waktu sebelum mendapatkan rumah yang lebih baik. Pada awalnya, dia bercadang untuk membeli sebuah rumah, namun semua rumah yang ditawarkan sama ada terlalu mahal atau terlalu kecil untuk mereka. Suatu hari, mereka melintasi sebuah rumah yang telah dirosakkan oleh ribut dengan bahagian dalamannya terdedah. Inilah yang telah memberi inspirasi kepada mereka untuk melakukan cabaran yang merubah hidup mereka.

    “Saya menyewa sebuah kabin semasa hari kesyukuran,” kata Cara kepada CBS News. “Semasa dalam perjalanan ke sana, kami melintasi sebuah rumah yang telah dirosakkan oleh ribut. Ia seakan sebuah rumah idaman yang cantik dengan bahagian dalamannya terdedah. Kita tidak selalu mempunyai peluang untuk melihat bahagian dalaman sesebuah rumah. Papan-papan 2×4 dan paku-paku tersebut, ia kelihatan sungguh ringkas. Saya rasa saya dapat membangunkan kembali dinding-dindingnya jika saya bersungguh-sungguh. Saya berfikir mungkin saya patut bermula dari awal.”

    Cara mula membuat perkiraan, dia akan mendapat duit yang mencukupi untuk membeli seekar tanah dan semua barang-barang yang diperlukan untuk membina rumah idaman mereka jika dia menjual harta miliknya pada masa itu. Walaupun perkara itu jelas mempunyai risiko yang tinggi, dia membuat keputusan untuk melakukannya. Dia bermula dengan menonton video-video YouTube pada sebelah malam selepas bekerja dan membuat senarai peralatan dan barang yang diperlukannya. “Setelah saya membeli semua barang-barang yang diperlukan, saya tidak ada jalan lain kecuali menjayakannya,” katanya. “Saya tidak mempunyai duit yang mencukupi untuk mengupah orang untuk membinanya. Tidak ada pelan B.”

    Rumah yang dibina oleh mereka dengan usaha mereka sendiri yang dinamakan ‘Inkwell Manor’.
    Rumah yang dibina oleh mereka dengan usaha mereka sendiri yang dinamakan ‘Inkwell Manor’.
    Cara Brookins bersama anaknya berada di hadapan rumah mereka.
    Cara Brookins bersama anaknya berada di hadapan rumah mereka.

    YouTube merupakan sumber yang sangat membantu dengan memberikan informasi mengenai cara pembinaan rumah itu. “Pada masa itu merupakan tahun 2008, jadi YouTube bukanlah seperti sekarang. Tidak ada video atau saluran yang memberikan informasi menyeluruh mengenai perkara sebegini,” kata Brookins sambil cuba mengingati.

    “Namun ada banyak cara untuk merangkakan jendela atau membuat lapisan asas. Jadi kami akan menonton tiga atau empat video bagi setiap peringkat pembinaan dan berfikir, “yang manakah yang paling sesuai buat kami?”

    Mengimbas kembali sembilan bulan yang dihabiskan untuk membina rumah mereka yang cantik, Cara memberitahu dia tidak akan dapat melakukannya tanpa pertolongan anak-anaknya. “Mereka sangat mem-bantu,” kata wanita itu dengan bangga. “Perkara yang paling saya takuti ialah jika anak-anak saya bangun suatu hari dan membuat keputusan ‘tidak, saya tidak mahu melakukan ini lagi’. Tapi itu tidak pernah berlaku. Ia merupakan pertama kali mereka merasakan mereka dapat mengawal hidup mereka sendiri. Dan mereka tahu yang mereka sangat memerlukannya.”

    Drew, anak lelaki Cara yang sulung melukis pelan tindakan untuk mendapatkan kelulusan dari bandar itu. Anak perempuannya Jada, akan mengambil air dari tasik jirannya untuk dicampur dengan konkrit untuk dijadikan lapisan asas. Manakala anak perempuannya yang seorang lagi akan memasak untuk keluarga mereka. Ini merupakan sebahagian daripada perkara yang mereka lakukan semasa projek itu dijalankan. Mereka juga menjaga adik bungsu mereka, Roman yang berumur dua tahun yang suka bermain di kawasan pembinaan rumah mereka. “Seluruh proses pembinaan merapatkan keluarga kami dan kami belajar tidak ada perkara yang mustahil. Kami menemui harapan baru,” kata Cara.

    Cara bersama anak-anaknya melakukan kerja-kerja pembinaan rumah mereka sendiri.
    Cara bersama anak-anaknya melakukan kerja-kerja pembinaan rumah mereka sendiri.
    Cara Brookins bersama empat orang anaknya di dalam ruang bilik makan rumah mereka.
    Cara Brookins bersama empat orang anaknya di dalam ruang bilik makan rumah mereka.

    Meskipun kekurangan penga-laman dalam pembinaan, rumah mereka lulus di setiap pemeriksaan kod setiap bandar. Mereka membuat kerja yang sangat baik – mencampur mortar secara manual untuk lapisan asas, membuat paip gas, merangka dinding, dan lain-lain. Pemeriksa terkejut apabila mengetahui Cara dan anak-anaknya membina sendiri rumah mereka. “Saya rasa mereka fikir saya gila,” katanya berjenaka. “Tidak ada seorang pun yang merasakan ini idea yang baik kecuali anak-anak saya. Tapi pada saya, ia merupakan satu-satunya penyelesaian.”

    Pada bulan Mac 2009, selepas sembilan bulan bekerja keras, Cara dan anak-anaknya berpindah masuk ke rumah baru mereka yang menakjubkan, yang diberi nama ‘Inkwell Manor’.

    Rumah itu mempunyai sebuah perpustakaan, sebuah garaj untuk tiga buah kereta, sebuah bengkel dan dua tingkat rumah pokok di halaman belakang.

    Kos pembinaannya mencapai AS$130,000. Walau bagaimanapun, sebelum itu rumah itu ditaksir mempunyai nilai sekitar AS$500,000.

    Pengalaman menakjubkan Cara yang membina rumah sendiri dari awal sekarang sudah dibukukan dan ditulis oleh Cara sendiri.

    “Saya tidak pernah berniat untuk menulis sebuah buku, ia merupakan sesuatu yang sangat peribadi dan kami sangat malu mengenainya. Saya juga tidak pernah memberitahu rakan sekerja mengenainya,” katanya. “Namun akhirnya, menulis menjadi sesuatu yang menolong saya membuang rasa malu itu.”

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda