Ibu tunggal cadang kembang pasaran ketupat palas

KOTA BHARU – Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 sejak 18 Mac lepas, memberi peluang kepada orang ramai terutama suri rumah memulakan perniagaan dari rumah.

Tinjauan media ke Tanjung Chat di sini, mendapati seorang ibu tunggal beranak tujuh mengambil kesempatan mengusahakan ketupat palas secara sejuk beku dan dipasarkan secara dalam talian di samping membekal kepada pengedar sebelum dipasarkan kepada orang ramai.

Ketika ditemui, Shamsiah Ibrahim, 64, bersama anaknya Noorhayati Ahmad, 38 dan seorang jiran, Nik Hasnah Nik Mat, 64, seorang pesara jururawat sedang menganyam serta memasukkan beras pulut yang sudah dimasak ke dalam daun palas yang sudah dianyam.

Beliau berkata proses memasak pulut bermula seawal 4 pagi, dibantu seorang lagi anak perempuannya Norzarin, 37, sebelum dia keluar bekerja di sebuah syarikat kejuruteraan di Kota Bharu.

“Tugas menganyam dan mengisi pulut ke dalam daun bermula pukul 8 pagi dan berlanjutan sehingga malam,” katanya yang mampu menyiapkan kira-kira 1,400 biji ketupat palas dari 10 kilogram pulut sehari.

Terdapat pelbagai jenis ketupat palas yang dihasilkan Shamsiah Ibrahim seperti ketupat palas lemak masin, manis, tawar, serunding, kacang dan pulut hitam. – Bernama
Shamsiah Ibrahim menghasilkan 10 kilogram ketupat palas sejuk beku sehari dan sehingga ini ketupat yang dihasilkan sudah dipasarkan sehingga Kuala Lumpur, Selangor, Pahang, Johor dan juga sudah sampai ke London. – Bernama

Shamsiah berkata beliau menghasilkan enam jenis ketupat daun palas masing-masing ketupat lemak masin, manis, tawar, kacang, serunding dan pulut hitam.

“Setiap jenis ketupat di pek dalam bungkusan 20 biji dan dijual dengan harga RM16 hingga RM24 sebungkus,” katanya.

Menurutnya, ketupat yang disejuk beku dihantar ke Johor, Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang, serta pernah memasuki pasaran di kota London pada Aidilfitri tahun lepas.

“Jika sebelum PKP ketupat palas dijadikan juadah utama ketika Aidilfitri dan Aidiladha serta majlis kenduri berikutan cara penyediaannya yang agak renyah, namun kini menjadi sajian pada hari-hari biasa atau dijamu kepada tetamu,” katanya.

Katanya, usaha membuat ketupat palas akan diteruskan dan dijadikan perniagaan harian berikutan menerima banyak tempahan daripada orang perseorangan dan pengedar tetap terutama dari Johor dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata perniagaan ketupat palasnya bermula hanya secara bidan terjun empat tahun lalu, apabila tempahan 2,000 biji ketupat palas oleh Norzarin empat tahun lalu daripada seorang pembekal gagal disiapkan menyebabkan mereka terpaksa membuat sendiri ketupat yang ditempah.

Menurutnya, setiap minggu beliau menghantar enam kotak besar yang mengandungi 45 paket ketupat ke Johor dan Kuala Lumpur, manakala ke Pahang dan Selangor masing-masing dua kotak.

“Sebelum PKP, bagi mereka yang berhasrat memulakan perniagaan perlu memikirkan modal tinggi bagi menyediakan tapak perniagaan dan bahan untuk diniagakan, tetapi semasa PKP perniagaan boleh dibuat dari rumah dengan modal paling minimum.

“Kita yang warga emas ini tidak tahu mengenai teknologi pemasaran baharu… ia juga tidak menjadi masalah kerana anak-anak ada untuk membantu,” katanya.

Mengenai perancangan untuk meluaskan pasaran ketupat palasnya, Shamsiah bercita-cita untuk menembusi pasaran di Mekah pada musim haji kerana percaya ramai jemaah Malaysia rindu untuk menikmati juadah istimewa itu pada hari raya.

Selain itu, beliau juga bercadang melengkapkan pek ketupatnya dengan serunding dan rendang daging atau ayam untuk dimakan dengan ketupat berkenaan.

Walau bagaimanapun, beliau perlu menangani masalah bekalan daun palas dan pekerja mahir yang sukar didapati dalam kalangan penduduk Kota Bharu. – Bernama