Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ibu tunggal gadai emas demi perniagaan sejuk beku

    IPOH – Kegigihan seorang ibu tunggal yang sanggup menggadai emas dan menggunakan wang simpanan tanpa bantuan modal dari kerajaan membawa kejayaan kepada Zaharani Abdul Rahim dalam bidang perniagaan kambing sejuk beku.

    Pengusaha berusia 46 tahun itu berkata dengan bermodalkan RM200 dan beberapa barangan kemas,  beliau memberanikan diri menceburi perusahaan produk sejuk beku itu selepas tekad berhenti kerja di sebuah kilang mesin.

    “Dua tahun lepas sewaktu negara kita dilanda wabak COVID, saya bersama-sama persatuan ibu tunggal lain mencari daging kambing bermutu tinggi dari New Zealand untuk dijadikan uji kaji resepi kami,” katanya ketika ditemui Bernama di restorannya di sini baru-baru ini.

    Menurutnya, sepanjang proses untuk sampai ke tahap hari ini, pelbagai onak dan duri dilalui dalam memastikan perniagaan terus utuh antaranya ditinggalkan suami dua tahun lepas dan ditipu oleh rakan karib sendiri.

    “Perkahwinan saya tidak panjang dan diuji apabila saya menerima surat cerai sewaktu PKP. Kini saya perlu membesarkan anak perempuan berumur 12 tahun sendirian. 

    Zaharani Abdul Rahim sanggup menggadai emas dan menggunakan wang simpanan tanpa bantuan modal dari kerajaan untuk memulakan perniagaan kambing sejuk beku. – Bernama
    Kak Kiah melayan pengunjung yang datang ke restorannya yang dikenali sebagai Kiah Kitchen. – Bernama

    “Selain itu, saya pernah mempunyai rakan kongsi yang merancang untuk menjual produk manakala saya di bahagian pemprosesan namun dia hilang tanpa berita apabila ingin membayar duit pendahuluan premis.

    “Saya perlu menanggungnya seorang diri sehinggakan berhutang rumah dan kereta kerana perlu membayar hampir RM20,000 untuk premis tersebut,” katanya sebak.

    Lebih selesa dikenali Kak Kiah, beliau berkata segala dugaan dan cabaran dihadapi telah mengajarnya untuk terus maju dan berusaha lebih gigih sehingga berjaya membuka sebuah restoran menjual produk sejuk bekunya itu.

    “Semuanya berubah apabila saya bertemu rakan kongsi yang hanya ingin dikenali sebagai Amir dan dia banyak berkongsi ilmu perniagaan dengan turut dibantu beberapa rakan dalam memastikan restoran kami iaitu Kiah Kitchen sentiasa menjadi pilihan para pengunjung.

    “Di restoran ini saya menjual masakan berasaskan produk sejuk beku dan antara menu yang menjadi bualan pengunjung adalah Nasi Kambing Bakar, Nasi Daging Harimau Menangis, Nasi Ayam Bakar dan macam-macam lagi,” tambahnya.

    Kak Kiah berkata selain masakan yang sedia dimakan, produk kambing perap sejuk beku juga turut dijual di restorannya agar pengunjung boleh membeli dan merasainya sendiri di rumah.

    Sehingga kini, beliau telah memasarkan produknya hampir ke seluruh negara selain turut menyediakan perkhidmatan pengilang peralatan asal (OEM) untuk penjenamaan masing-masing.

    “Setakat ini kami sudah melebarkan sayap perkhidmatan OEM sejuk beku di tujuh negeri iaitu Perak, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Selangor. Tugas kami  hanyalah menghantar produk kepada pihak premis seterusnya pemilik premis tersebut akan menjenamakannya sendiri,” katanya.

    Menurutnya, bagi menambah dan mengisi ilmu, beliau telah menuntut teknik pembuatan resepi perapan dari pelbagai saluran seperti kelas memasak, hantaran di media sosial selain perkongsian rakan-rakan, setelah itu beliau mengolah resepinya sendiri mengikut kesesuaian selera Melayu. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...