Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Ibu tunggal jana pendapatan menerusi perniagaan kuih karas

    KANGAR – Berpegang kepada peribahasa, ‘Hendak seribu daya, tak hendak seribu upaya’ menjadi pembakar semangat seorang ibu tunggal menyara lima orang anak Sayangni Ibrahim, 51, dari Kampung Gial, Mata Ayer, dekat sini berkata beliau mula berniaga kuih itu secara serius selepas hilang tempat bergantung apabila suaminya, Mat Husin Abdullah meninggal dunia tujuh tahun lepas.

    “Buat kuih karas ini perlu banyak bersabar walaupun nampak senang tetapi tidak ramai sanggup membuatnya kerana prosesnya agak remeh berbanding kuih moden,” katanya kepada Bernama.

    Sayangni yang mesra dipanggil Kak Yani berkata beliau mula belajar membuat kuih karas daripada arwah neneknya, Rumit Mat Akil sejak berusia 19 tahun.

    “Bahan untuk hasilkan kuih karas mudah sahaja namun sukatan air, gula, tepung beras dan tepung gandum perlu tepat bagi memastikan agar kuih yang dihasilkan sedap, tahan lama, tidak mudah pecah dan rangup,” katanya.

    Menurut Sayangni, beliau menggunakan acuan berusia kira-kira 30 tahun yang dibeli daripada seorang tukang kayu di Santan, dekat sini dan akan terus menggunakannya kerana serasi dengan dirinya.

    Sayangni Ibrahim mula berniaga kuih karas secara serius selepas suaminya meninggal dunia tujuh tahun lepas. – Bernama
    Menurut Sayangni, beliau menggunakan acuan berusia kira-kira 30 tahun yang dibeli daripada seorang tukang kayu di Santan. – Bernama

    “Saya pernah cuba menggunakan acuan lain yang baharu dibeli namun hasilnya tidak secantik kuih yang dibuat menggunakan acuan ini,” katanya.

    Acuan kuih karas itu dihasilkan daripada tempurung kelapa yang ditebuk dan mempunyai tangkai kayu.

    Sayangni berkata beliau menjaga dengan baik acuan tersebut kerana tukang kayu berkenaan sudah meninggal dunia dan tiada pengganti mewarisi seni pembuatan acuan itu.

    “Kuih karas ada pelbagai bentuk sama ada segi tiga, bulat, separa bulatan atau panjang bergantung kepada pembuat,” katanya.

    Katanya beliau lebih gemar menghasilkan kuih karas berbentuk segi tiga kerana ia susah patah dan tahan lama.

    “Alhamdulillah, saya sering menerima permintaan daripada pelanggan dari seluruh negara dan tidak menang tangan untuk siapkan tempahan khususnya ketika Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan musim cuti sekolah untuk majlis perkahwinan,” katanya yang menghasilkan kira-kira 500 keping kuih karas sehari.

    Beliau berpandangan ketika ini tidak ramai orang berminat membuat kuih karas memandangkan golongan muda lebih gemar menghasilkan kuih moden sekali gus menyebabkan beliau sering menerima tempahan.

    Sayangni turut menyambut baik cadangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer Siti Berenee Yahaya yang ingin menjadikan kawasan Mata Ayer sebagai hab kuih tradisional menerusi program ‘Satu DUN Satu Produk’ (Satu Dewan Undangan Negeri Satu Produk).

    “Diharapkan usaha ini bukan sahaja mampu menarik pelancong datang ke Perlis malah turut mengajak golongan muda memelihara warisan kuih tradisional,” katanya dengan menambah bersedia memberi tunjuk ajar kepada mereka yang berminat untuk menghasilkan kuih tersebut. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...