ROME, 22 Okt – Kapten, Mauro Icardi muncul wira Inter Milan apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan bagi menewaskan AC Milan 1-0 dalam saingan Serie A di San Siro, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan Inter melonjak ke tangga ketiga dengan mengumpul 19 mata selepas mengharungi sembilan perlawanan.
Icardi menghukum kesilapan yang dilakukan penjaga gol lawan, Gianluigi Donnarumma bagi menjaringkan gol pada lewat masa kecederaan.
Kekalahan itu menyaksikan Milan yang dibimbing Gennaro Gattuso gagal me-rekodkan sebarang kemenangan dalam lima perlawanan terakhir liga. Inter yang layak ke saingan Liga Juara-Juara buat pertama kali musim ini sejak 2011/2012 ketika ini ketinggalan enam mata di belakang pendahulu liga, Juventus yang sekadar seri 1-1 dengan Genoa pada Sabtu.
“Saya datang ke sini untuk menang, bukan hanya untuk di bangku simpanan sepanjang musim ini dan hanya mengambil gaji. Saya datang ke sini untuk membina masa depan Inter dan pemain perlu lakukan perkara sama.
“Saya suka apabila Icardi selepas wisel dibunyikan mengatakan kepada saya yang kami perlu mencari konsistensi. Inter memilih kami untuk membawa pasukan ini kembali kepada kegemilangannya,” kata jurulatih Inter, Luciano Spalletti. – AFP
