Iceland lindungi Artik daripada kemelut AS-China

REYKJAVIK, 31 JULAI – Iceland mahu melindungi Artik daripada kemelut global yang timbul di antara Amerika Syarikat (AS) dan China, kata Perdana Menteri Iceland semalam dalam temu bual dengan AFP.

Komen beliau menyusuli satu lawatan ke Denmark oleh Setiausaha Negara AS Mike Pompeo pada minggu lalu di mana beliau mengkritik China kerana menganggap dirinya sebagai sebahagian negara Artik.

“Jelasnya kami telah melihat peningkatan dalam ketegangan di antara AS dan China,” kata Katrin Jakobsdottir.

“Dan jelasnya jika anda bertanya secara khusus mengenai Artik, maka kami juga melihat minat AS dan China yang meningkat dalam Artik.

“Saya bertekad untuk memastikan Artik kekal menjadi satu kawasan yang tidak genting,” kata Jakobsdottir.

“Kami harus menumpu untuk mengelak aktiviti tentera sekitar Artik. Ia amat penting bukan sahaja untuk kami yang tinggal di sini, tetapi juga untuk alam sekitar.

“Ia telah menjadi matlamat utama kerajaan Iceland, iaitu mengekalkan Artik sebagai kawasan yang tidak genting.” Iceland dijangka menganjurkan mesyuarat menteri-menteri Majlis Artik pada Mei 2021, yang mengumpul bersama AS, Rusia dan negara lain yang bersempadan dengan negara Utara Jauh. – AFP