Iceland negara pertama, wanita majoriti di parlimen

REYKJAVIK, 26 SEPT – Iceland hari ini menjadi negara pertama di Eropah yang mempunyai lebih banyak wanita berbanding lelaki di parlimen, sehari selepas pilihan raya umum.

Daripada 63 kerusi di parlimen Althing, 33 dimenangi oleh wanita atau 52 peratus, unjuran berdasarkan keputusan akhir ditunjukkan hari ini.

Tidak ada negara Eropah lain yang memiliki lebih dari 50 peratus penggubal undang-undangnya golongan wanita, dengan Sweden memiliki 47 peratus, menurut data yang dikumpulkan oleh Bank Dunia.

Lima negara lain di dunia kini mempunyai parlimen di mana wanita memegang sekurang-kurangnya separuh kerusi, menurut Kesatuan Antara Parlimen iaitu Rwanda (61 peratus), Cuba (53 peratus), Nicaragua (51 peratus) dan Mexico dan Emiriah Arab Bersatu (50 peratus).

Tidak seperti beberapa negara lain, Iceland tidak memiliki kuota undang-undang mengenai perwakilan wanita di parlimen, walaupun beberapa pihak memerlukan jumlah minimum calon wanita.

Iceland telah lama menjadi pelopor dalam hak kesamaan jantina dan hak wanita serta telah mendahului kedudukan Forum Ekonomi Dunia sebagai negara yang paling egaliter selama 12 tahun kebelakangan.

Iceland adalah negara pertama yang memilih wanita sebagai presiden pada tahun 1980.

“Saya berusia 85 tahun, saya telah menanti sepanjang hidup wanita menjadi majoriti. Saya sangat gembira,” kata Erdna, seorang penduduk Reykjavik, kepada AFP.

Walaupun pakatan kiri-kanan Perdana Menteri Katrin Jakobsdottir memperoleh majoriti dalam pilihan raya Sabtu lalu, masih perlu dilihat adakah ketiga-tiga parti itu akan terus memerintah bersama. – AFP

Perdana Menteri Iceland, Katrin Jakobsdottir ketika bercakap dengan penyokong Gerakan Kiri Hijau di Reykjavik pada 25 September lalu setelah pengumuman keputusan pilihan raya umum negara itu. – AFP