Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan ICRC Kuala Lumpur
Beratus-ratus juta orang berisiko mengalami kebuluran teruk dalam beberapa bulan akan datang apabila kemiskinan tegar, ketidaksamaan dan ketakjaminan makanan (food insecurity) meningkat, terutamanya di bahagian Afrika dan Timur Tengah, berikutan kejutan dalam sistem makanan, tenaga dan kewangan.
Konflik di Ukraine telah menyumbang kepada kenaikan mendadak harga bahan api, baja dan makanan. Ini telah meningkatkan perbelanjaan isi rumah dan memaksa keluarga membuat pilihan yang mustahil setiap hari.
Walaupun badan kemanusiaan telah berulang kali membangkitkan isu tersebut, masih tiada penyelesaian berskala besar untuk mengurangkan tekanan yang ditimbulkan oleh perang di Ukraine terhadap populasi yang sangat bergantung kepada eksport bijirin dari Rusia dan Ukraine.
“Kami menghadapi situasi sekuriti makanan global yang mendesak dan semakin merosot, terutamanya di bahagian Afrika dan Timur Tengah. Konflik bersenjata, ketidakstabilan politik, kejutan iklim dan impak sekunder pandemik COVID telah melemahkan kapasiti untuk bertahan dan pulih daripada kejutan.
“Kesan konflik bersenjata di Ukraine telah memburukkan lagi keadaan yang sudah kritikal,” kata Ketua Pengarah Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC), Robert Mardini di Geneva ketika berkongsi situasi krisis kebuluran yang dihadapi oleh berjuta-juta yang terperangkap dalam konflik bersenjata, berdasarkan kenyataan yang dikongsikan oleh ICRC Kuala Lumpur secara maya kepada penulis, baru-baru ini.
Krisis kemanusiaan sungguh memilukan
Robert Mardini menjelaskan lanjut keadaan adalah mendesak, dan tempoh masa yang berbaki untuk bertindak semakin mengecil. Oleh itu, tanpa adanya usaha bersepadu dan kerjasama, hal ini berisiko menjadi krisis kemanusiaan yang tidak dapat dipulihkan dengan kesan kemanusiaan yang tidak dapat dibayangkan.
Negara-negara yang akan terjejas paling teruk ialah mereka yang telah menghadapi krisis kemanusiaan yang disebabkan oleh peperangan atau ketidakstabilan yang berdekad-dekad lamanya. Ini termasuklah tempat-tempat di mana ICRC mempunyai operasi terbesarnya, seperti Syria, Yaman, Mali, Etiopia, Somalia dan Afghanistan.
Tambahnya, apa yang begitu memilukan lagi kita boleh menjangkakan untuk melihat lebih banyak imej kanak-kanak yang tidak cukup makan pada minggu-minggu akan datang, kerana kanak-kanak merupakan golongan yang akan terjejas paling teruk oleh krisis makanan.
Di Somalia, sebagai contoh, bilangan kanak-kanak di bawah umur lima tahun yang mengalami Malnutrisi Akut dengan komplikasi perubatan yang dimasukkan ke Pusat Penstabilan kendalian ICRC telah meningkat hampir 50 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Kenaikan harga makanan menyebabkan banyak keluarga menghentikan persekolahan anak-anak kerana mereka tidak lagi mampu membayar yuran.
Harga bijirin di Afrika telah melonjak kerana kemerosotan dalam eksport dari Ukraine, memburukkan kesan konflik dan perubahan iklim. Rusia dan Ukraine bersama-sama membentuk 25 peratus daripada pengeluaran gandum dan bijirin dunia, manakala kira-kira 85 peratus daripada bekalan gandum Afrika diimport. Somalia, misalnya, mendapat lebih daripada 90 peratus gandumnya dari Rusia dan Ukraine.
Oleh yang demikian, jelas Robert Mardini dengan berlakunya kenaikan harga global memberi kesan yang tidak seimbang kepada mereka yang paling terdedah kepada kejutan tersebut, terutamanya para petani sara diri dan penduduk di kawasan yang dilanda konflik, di mana perlindungan sosial adalah lemah. Komuniti-komuniti ini telah menyaksikan berjuta-juta ekor ternakan mati tahun ini akibat kemarau. Di Yaman, selepas bertahun-tahun perang saudara, lebih daripada 50 peratus penduduk iaitu lebih daripada 16 juta orang mengalami ketakjaminan makanan yang amat serius.
ICRC terus menanai amanah sosial
Sehubungan itu, Robert Mardini turut mengongsikan ketakjaminan makanan sebagai satu cabaran yang kompleks, tetapi ICRC terus menanai amanah dan tanggungjawab sosial menerusi perlaksanaan langkah-langkah terbaik berdasarkan tiga seruan utama untuk bertindak.
“Pertama, dalam konflik, pihak yang terlibat dalam pertempuran mempunyai tanggungjawab utama untuk memastikan keperluan asas orang awam di kawasan di bawah kawalan mereka dipenuhi.
“Mereka mesti melindungi tanaman, ternakan, struktur air dan kemudahan kesihatan yang sangat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk. Ini termasuk memudahkan akses kemanusiaan yang pantas dan tanpa halangan.
“Kedua, pembiayaan untuk menangani krisis makanan perlu ditambah segera untuk menyelamatkan nyawa. Walau bagaimanapun, tindakan jangka panjang untuk mengurus risiko dan mengukuhkan daya tahan juga penting untuk bersedia menghadapi krisis seterusnya. Kita harus memastikan bantuan sampai kepada mereka yang terjejas akibat konflik dan menyokong pertanian pintar iklim dan amalan penggembalaan,” jelasnya.
Manakala bagi seruan yang ketiga ialah memenuhi skala keperluan dalam seruan jangka pendek, sederhana dan panjang untuk memanfaat daripada kapasiti semua aktor, termasuk agensi kemanusiaan dan pembangunan, institusi kewangan, serta pihak berkuasa tempatan dan serantau, tambahnya.
Tanggungjawab ada pada kita semua
Robert Mardini dalam kenyataannya meluahkan bahawa kemurahan hati daripada penderma dan rakan kongsi ICRC mengenai Ukraine amat dialu-alukan.
Apa yang membimbangkan, mereka melihat kemerosotan dalam pembiayaan keseluruhan untuk menampung belanjawan global mereka.
Ujarnya, bidang penting kerja ICRC di seluruh dunia pada masa ini sangat kekurangan dana. Ini mengancam keupayaan mereka untuk membantu golongan yang mengalami kesan konflik dan keganasan, termasuk program bantuan makanan.
“Kami mengingatkan negara-negara bahawa sekatan yang dikenakan dalam konteks konflik boleh memberi kesan negatif terhadap keupayaan aktor kemanusiaan untuk beroperasi. Kami menggesa negara-negara untuk memastikan tindakan kemanusiaan yang berkesan (carve out) dalam reka bentuk dan pelaksanaan sekatan tersebut.
“Kami tetap komited untuk bertindak balas terhadap kecemasan ini, tetapi badan kemanusiaan sahaja tidak mampu menanganinya.
“Kita komuniti global perlu secara kolektif menggandakan usaha kita melalui tindakan yang disesuaikan. Tanggungjawab ada pada kita semua. Terlalu banyak nyawa, dan terlalu banyak penderitaan dipertaruhkan,” tekan Robert Mardini lagi.
Krisis makanan membimbangkan
Dalam pada itu, Robert Mardini turut mengongsikan bahawa menurut Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) dianggarkan 346 juta orang di Afrika menghadapi masalah ketakjaminan makanan yang teruk. Kenyataan angka berkenaan begitu mengejutkan yang sekali gus bermaksud bahawa satu perempat daripada populasi benua itu kekurangan makanan.
“Hampir 10 juta orang di Sudan dan 7 juta orang di Sudan Selatan mengalami ketakjaminan makanan yang amat teruk. Malah sebelum meningkatnya konflik bersenjata di Ukraine, 90 peratus penduduk Syria hidup dalam kemiskinan, dua pertiga bergantung kepada bantuan kemanusiaan, dan 55 peratus adalah mengalami ketakjaminan makanan.” kongsinya.
Selain itu, tambahnya, negara-negara di Sahel sedang mengalami salah satu kemarau yang paling teruk dalam beberapa dekad. Beliau turut mengongsikan situasi di Afghanistan, harga tepung gandum naik 47 peratus berbanding setahun lalu, manakala minyak masak naik 37 peratus.
Baja diamonium fosfat naik 91 peratus dan harga diesel naik 93 peratus. Afghanistan mengimport kebanyakan gandumnya dari negara jiran Kazakhstan, yang telah mengenakan sekatan eksport akibat konflik di Ukraine.
“Program Makanan Sedunia (WFP) menganggarkan bahawa tambahan 47 juta orang akan mengalami ketakjaminan makanan pada tahun 2022, menjadikan jumlah global kepada 811 juta orang,” kongsi Robert Mardini di akhir kenyataannya, baru-baru ini.