Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    ICRC menanai sistem penjagaan anak damit Afghanistan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan ICRC Kuala Lumpur

    Meskipun ancaman peperangan dilihat semakin reda, namun kegusaran masih bertapak di jiwa rakyat Afghanistan yang kini masih bergelut untuk meneruskan kehidupan akibat sokongan perubatan yang tidak mencukupi, sistem perbankan yang lumpuh dan tidak dinafikan juga kekurangan peluang pekerjaan akibat peperangan yang telah berlangsung selama beberapa dekad.

    Mengimbas kembali kunjungan ke Afghanistan kira-kira setahun lalu, Pengarah Serantau Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) bagi Asia Pasifik, Christine Cipolla, dalam kenyataan yang dikongsikan oleh ICRC Kuala Lumpur secara maya kepada penulis, baru-baru ini, menyatakan satu hal yang masih dalam ingatannya apabila sistem perubatan hampir ditutup pada ketika itu.

    “Kakitangan perubatan yang bekerja penuh dedikasi di negara itu tidak dibayar selama berbulan-bulan, manakala ubat-ubatan dan peralatan yang diperlukan untuk penjagaan kesihatan berkualiti tidak tersedia,” kongsinya.

    Tambahnya, pentadbir hospital, doktor dan jururawat di Kabul dan seluruh negara dalam keadaan terdesak. Ibu dan wanita hamil tidak selalu mendapat rawatan secukupnya di negara tersebut sehingga mencatatkan kadar mortaliti ibu bersalin tertinggi di dunia, dengan 638 wanita mati bagi setiap 100,000 kelahiran anak damit.

    Menanai nilai kemanusiaan
    Sehubungan itu, ke arah usaha dalam mengambil langkah segera demi menyelamatkan nyawa dan memastikan kemudahan penjagaan kesihatan dapat diteruskan dalam kalangan rakyat Afghanistan, Christine Cipolla mengemukakan pihak ICRC mula memberi bantuan kepada 33 buah hospital besar di seluruh negara pada November tahun lepas.

    Kelihatan beberapa orang bidan memeriksa anak damit di wad selepas bersalin.
    Pengarah Serantau ICRC bagi Asia Pasifik, Christine Cipolla.
    Seorang bapa bersama anaknya yang kekurangan zat.
    Christine Cipolla semasa melawat salah sebuah hospital di Afghanistan yang musnah pada Oktober 2021.
    Seorang ibu memegang erat anaknya yang baharu lahir.
    Ke arah usaha dalam mengambil langkah segera demi me-nyelamatkan nyawa dan memastikan kemudahan penjagaan kesihatan dapat diteruskan dalam kalangan rakyat Afghanistan, ICRC mula memberi bantuan kepada 33 buah hospital besar di seluruh negara pada November tahun lepas.

    “Ini membolehkan kakitangan perubatan Afghanistan terus beroperasi dengan menyediakan penjagaan dan kemudahan kesihatan yang berkualiti. Satu hasil yang sangat ketara lebih daripada 113,500 anak damit telah dilahirkan di fasiliti perubatan tersebut sejak Januari tahun ini.

    “Sepanjang 10 bulan lalu ICRC telah membayar gaji hampir 10,500 ahli profesional kesihatan iaitu sekitar satu per tiga daripadanya adalah wanita; bahan api untuk sistem pemanasan, penjana kuasa dan ambulans; dan untuk makanan dan ubat-ubatan pesakit,” kongsinya lanjut.

    Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul
    Situasi yang memerlukan bantuan segera bukanlah hanya pada sistem penjagaan kesihatan, bahkan jelas Christine Cipolla lagi, walaupun persengketaan di seluruh Afghanistan telah menurun dengan ketara pada tahun lepas, pergelutan yang dihadapi oleh keluarga Afghanistan untuk terus hidup, sistem perbankan yang lumpuh, dan kekurangan pekerjaan dan wang tunai ditambah pula akibat peperangan selama beberapa dekad, telah memberi kesan buruk kepada keluarga Afghanistan. Sekatan ekonomi memburukkan lagi keadaan ekonomi mereka yang sudah teruk ini.

    “Di jalan-jalan di Kabul kami melihat semakin ramai orang menjual barangan peribadi mereka, untuk mengumpul wang tunai supaya dapat menyediakan makanan di atas meja mereka. Kami melihat barisan panjang wanita meminta roti di hadapan kedai roti.

    “Di kawasan luar bandar, kemarau teruk menyebabkan golongan petani tidak dapat menanam bahan makanan dan menjana pendapatan. Kesan ekonomi konflik Ukraine-Rusia terhadap harga komoditi asas telah menjejaskan kuasa membeli rakyat Afghanistan dengan teruk. Berjuta-juta orang menghadapi kekurangan bekalan elektrik dan air minuman bersih, sehingga menimbulkan risiko penyakit bawaan air,” luahnya mengimbau kembali situasi yang dialami ketika itu.

    Beliau juga berkata, di sebalik usaha yang telah dilakukan, organisasi kemanusiaan tidak mempunyai kapasiti untuk memenuhi keperluan penduduk Afghanistan yang semakin meningkat.

    “Tanpa sokongan dan pelaburan antarabangsa yang mendesak, berjuta-juta kanak-kanak, wanita dan lelaki berdepan isu yang mengancam nyawa.

    “Dengan lebih separuh daripada penduduk memerlukan bantuan kemanusiaan dan hampir 20 juta orang dianggarkan mengalami isu kekurangan makanan yang teruk, apakah masa depan yang boleh dilihat ibu bapa untuk anak-anak mereka dengan lebih 100,000 anak damit yang dilahirkan tahun ini?”

    Ujarnya lanjut di akhir kenyataan, menjadi tanggungjawab moral dan kemanusiaan kita untuk memastikan anak damit di Afghanistan yang baharu lahir dan keluarga mereka diberikan bantuan yang mereka perlukan.

    “Negara-negara dan agensi pembangunan perlu meneruskan sokongan mereka kepada rakyat Afghanistan, yang sudah pun menghadapi situasi yang tidak tertanggung,” ucapnya.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...