Oleh Nurdiyanah R.
Gambar serahan ICRC Kuala Lumpur
Pertempuran yang meletus di sekitar loji tenaga nuklear Zaporizhzhia dalam konflik Ukraine-Rusia telah menimbulkan kebimbangan Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).
Risiko yang timbul akibat peperangan berkenaan adalah amat besar kerana apabila tapak berbahaya menjadi medan pertempuran, ia boleh mencetuskan malapetaka kepada berjuta-juta orang dan alam sekitar dengan kesan yang akan berlanjutan selama bertahun-tahun. Sekiranya berlaku kebocoran nuklear, adalah amat sukar bagi ICRC untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada pihak terbabit.
“Oleh itu, sudah tiba masanya untuk berhenti bermain dengan api dan sebaliknya mengambil langkah konkrit untuk melindungi kemudahan ini daripada operasi ketenteraan.
“Sedikit kesilapan dalam percaturan boleh mencetuskan kemusnahan yang akan dikesali selama beberapa dekad,” kata Ketua Pengarah ICRC, Robert Mardini ketika mengadakan sidang media di Kyiv, Ukraine pada 1 September lalu berhubung kebimbangan terhadap situasi loji nuklear di Ukraine, berdasarkan kenyataan yang dikongsikan oleh ICRC Kuala Lumpur secara maya kepada penulis, baru-baru ini.
Tingkat operasi kemanusiaan
Robert Mardini memberikan respons sedemikian selepas ICRC menjalankan misi kemanusiaan selama enam bulan di Ukraine, di Donetsk dan Luhansk, sejak 24 Februari bersama Palang Merah Ukraine dan rakan kongsi dalam pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah yang lain untuk meningkatkan operasi kemanusiaannya secara besar-besaran.
Menurut beliau, tiga bidang khusus telah diketengahkan dalam operasi kemanusiaan berkenaan iaitu menerusi perlaksanaan program dengan kerjasama Kementerian Polisi Sosial Ukraine, di mana mereka bergabung untuk menyediakan wang tunai berjumlah 1.5 bilion Hryvnia Ukraine (kira-kira AS$40 juta) untuk kira-kira 300,000 orang.
“Bantuan kewangan ini disalurkan kepada orang yang paling memerlukan seperti keluarga isi rumah tunggal, orang mengalami kecederaan berkaitan konflik atau orang kelainan upaya,” ujarnya.
Selain itu, beliau juga menyatakan operasi kemanusiaan tersebut turut melibatkan kerjasama dengan pihak berkuasa air tempatan dengan menyediakan akses yang lebih baik kepada air minuman bersih untuk lebih 9 juta orang.
“Lebih 700,000 orang yang terdedah kini telah mendapat akses yang lebih baik kepada penjagaan kesihatan,” kongsinya lagi.
Menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa di peringkat tempatan dan kebangsaan, kakitangan di organisasi serta ramai sukarelawan Palang Merah Ukraine telah membantu komuniti di seluruh negara, daripada mengadakan latihan pertolongan cemas di tempat perlindungan bom kepada penyediaan makanan kepada orang yang kehilangan tempat tinggal.
Memperjuang undang-undang kemanusiaan
Robert Mardini turut mengemukakan di akhir kenyataannya bahawa ICRC, sebagai organisasi kemanusiaan, tidak memaksa kerajaan dan tentera untuk bertindak kerana ICRC tidak mempunyai senjata dan ia juga bukan ahli politik.
Tekannya lagi, pertempuran telah mencetuskan ancaman kepada orang awam dan pemusnahan infrastruktur awam yang penting dalam enam bulan kebelakangan ini.
Hospital, pusat membeli-belah, sekolah, jambatan, pangsapuri, stesen kereta api dan rumah telah rosak atau musnah. Pertempuran telah merosakkan sistem bekalan air, kuasa dan gas, kemudahan perubatan, dan sekolah. Ia amat menyakitkan melihat ramai kanak-kanak hari ini tidak ada sekolah untuk mereka kembali belajar.
“Inilah sebabnya mengapa undang-undang kemanusiaan antarabangsa wujud. Ia menetapkan peraturan yang terpakai dalam konflik bersenjata antarabangsa yang melindungi kami sekarang dan generasi yang menggantikan kita. Lebih daripada sekadar peraturan, Konvensyen Geneva adalah ungkapan kemanusiaan kita dan merupakan jaring keselamatan muktamad untuk maruah di tengah-tengah kemusnahan konflik bersenjata. Kami akan terus menyokong pelaksanaannya dan mendesak dengan tekad dan azam agar nilai-nilai ini dipertahankan,” tegasnya.