ICT penting dalam transformasi perpustakaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Feb – Dalam era transformasi ke arah landasan digital, ledakan ICT telah menghasilkan maklumat dalam bentuk media dan digital yang menjadikannya satu cabaran kepada para pustakawan.

Sehubungan itu, bagi memberikan pendedahan dan kefahaman kepada prinsip media dan literasi digital khususnya kepada para pustakawan, Persatuan Perpustakaan Negara Brunei Darussalam (BLA) mengadakan Bengkel Literasi Digital dan Media yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Muara selama dua hari hingga hari ini.

Bengkel anjuran BLA itu disertai oleh seramai 16 orang peserta dan merupakan salah satu kegiatan yang diadakan di bawah Program Pemimpin Baharu 4 (ELP4) yang bertujuan untuk melatih pemimpin perpustakaan akan datang.

Dengan dibimbing oleh tujuh orang penceramah, topik-topik yang dibentangkan semasa bengkel berkenaan termasuk penggunaan media sosial dalam perpustakaan, asas media dan literasi digital dan perpustakaan digital.

Bengkel itu bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran dan penglibatan di kalangan warga perpustakaan ke arah transformasi perpustakaan, memperkasa para pustakawan dalam memacu perkhidmatan perpustakaan ke arah landskap digital, mengangkat peranan perpustakaan selari dengan transformasi global serta memahami literasi digital dan media demi menyokong budaya multimedia supaya pengguna menjadi media yang aktif.

Para peserta menumpukan perhatian ketika penerangan disampaikan oleh penceramah pada Bengkel Literasi Digital dan Media yang berlangsung di Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka Muara, kelmarin.