Idamkan susuk tubuh langsing

Hampir dua tahun berusaha mendapatkan kembali susuk tubuh langsing, Stacy mengakui, semakin selesa dengan penampilannya yang persis anak dara.

Stacy berkata, dia berusaha keras mendapatkan semula susuk tubuh idaman untuk memudahkan dirinya beraksi di pentas, selain menjalani rutin harian.

“Badan saya agak berisi selepas melahirkan Eshaal menyebabkan saya mudah penat dan mengah, terutama apabila melakukan aktiviti berat. Saya berkorban menyekat selera, pada masa sama bersenam di gimnasium untuk mendapatkan kembali stamina. Semua itu memerlukan komitmen yang tinggi dan ia hanya dicapai selepas dua tahun berusaha,” katanya.

Penyanyi yang muncul dengan single terbaharu, Khayal itu bagaimanapun akur, ada pihak yang kurang menyenangi penampilan terkininya itu.

“Mereka berpendapat, saya lebih sesuai berisi kerana susuk tubuh yang kurus menyebabkan wajah saya nampak sedikit berusia. Saya tidak terasa hati, sebaliknya mengambil teguran itu dari sudut positif. Saya perlu mengawal berat badan untuk memudahkan pergerakan di pentas. Sebelum ini, saya cepat penat apabila menari dan menyanyi. Apabila badan ringan, saya rasa lebih selesa melontarkan vokal, terutama ketika menyanyikan lagu bernada tinggi. Mungkin mereka bimbang saya sakit dan mahu melihat saya gembira di samping keluarga. InsyaAllah, saya tiada apa-apa dan terima kasih kerana sentiasa mendoakan yang baik untuk kami sekeluarga,” katanya. – Agensi

Stacy mengakui menyekat selera makan dan bersenam di gimnesium untuk mendapatkan stamina. – Agensi