IEA: Permintaan minyak global pulih Oktober

PARIS, 14 SEPT – Permintaan minyak global telah merosot tiga bulan berturut-turut ketika kes COVID-19 meningkat di Asia tetapi ia dijangka pulih kembali pada bulan depan, kata Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA) hari ini.

Permintaan merosot dari Julai selepas pulih semula pada bulan sebelumnya, dengan pengguna minyak mentah utama China memimpin kemerosotan, kata IEA dalam laporan bulanan. “Permintaan minyak global masih menerima tekanan daripada varian Delta di rantau pengguna utama, terutamanya di kawasan Asia,” menurut laporan. Permintaan merosot sebanyak 310,000 tong sehari secara purata dalam tempoh tiga bulan hingga September.

Namun ia dijangka pulih pada Oktober dengan pertambahan 1.6 juta tong sehari (bpd) dan terus meningkat sehingga akhir tahun, kata IEA, yang menasihat negara maju mengenai dasar tenaga.

“Berita terbaharu mengenai COVID-19 adalah lebih optimistik, dengan kes global menurun dalam beberapa minggu ini, meneruskan kemajuan dalam penghasilan dan inokulasi vaksin, dan pelonggaran langkah penjarakan sosial di kebanyakan negara,” katanya. – AFP