KUALA LUMPUR – Artis serba boleh, Ifa Raziah, lega apabila semakin pulih daripada tiga jenis penyakit yang dialami sebelum ini iaitu bengkak hati, refluks gastroesofageal dan hiatus hernia.
Ifa atau nama sebenarnya, Saripah Raziah Mustapha, 40, menjalani pembedahan pada 4 Februari lalu di sebuah pusat perubatan swasta dan dibenarkan pulang ke rumah, baru-baru ini.
“Alhamdulillah, penyakit saya sudah pun dirawat. Bagaimanapun perut masih sakit kerana menerima lima tebukan ketika pembedahan. Nak berjalan pun masih sukar. Sekarang, saya dinasihatkan oleh doktor untuk berehat selama 10 hari dan berpantang makan. Ia agak menyeksakan kerana saya perlu menyentuh makanan berbentuk cecair saja,” katanya.
Bagaimanapun, kata Ifa, fibroid yang dialaminya tidak memerlukan pembedahan segera memandangkan tidak memudaratkan bahagian dalaman badan.
Sementara itu, penyanyi yang turut dikenali sebagai pelakon dan pengacara ini berkata, kesibukan dengan pelbagai aktiviti seni sebelum ini membuatkan beliau sedikit janggal apabila berehat tanpa berbuat apa-apa di rumah.
“Bosan pula duduk rumah tanpa melakukan apa-apa aktiviti, tetapi nak buat macam mana, badan perlu berehat. Mujur ada laman sosial dan sedikit kegiatan terapi di rumah. Saya ada menghubungi perkhidmatan spa datang ke rumah bagi membuat rawatan seperti wanita lepas bersalin, tetapi bukan pada bahagian perut. Walaupun tamat tempoh rehat, doktor turut menasihatkan saya agar tidak mengangkat barang yang berat selama beberapa bulan,” ujarnya.