Thursday, April 18, 2024
28.5 C
Brunei

    -

    IFDI: Brunei kekal di tangga ke-12

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JAN – Negara Brunei Darussalam mengekalkan kedudukan di tangga ke-12 daripada 136 buah negara selama dua tahun berturut-turut seperti yang dilaporkan dalam ICD- Refinitiv Islamic Finance Development Report 2022: Embracing Change.

    Mengambil kira maklumat data dan statistik secara keseluruhan bagi 2021, laporan tersebut menunjukkan bahawa Brunei mencapai 31 mata dalam Indikator Pembangunan Kewangan Islam (IFDI) di mana nilai mata secara purata bagi IFDI global telah menurun kepada sembilan mata pada 2022 berbanding 11 mata pada 2021.

    Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) dalam kenyataannya hari ini menjelaskan, laporan menunjukkan industri kewangan Islam global telah meraih pencapaian pada 2021 dengan mengekalkan pertumbuhan dua angka dalam jumlah keseluruhan aset sebanyak 17 peratus tahun ke tahun kepada AS$4 trilion berikutan pemulihan ekonomi global daripada kesan COVID-19.

    Selain itu, laporan juga menganggarkan jumlah keseluruhan aset industri kewangan Islam global meningkat kepada AS$5.9 trilion menjelang 2026 dan ini berikutan perkembangan dalam industri perbankan Islam serta pasaran sukuk.

    Secara keseluruhan, perbankan Islam merangkumi 70 peratus daripada jumlah aset kewangan Islam pada 2021 diikuti sukuk 18 peratus, dana patuh syariah mencatat 6 peratus, institusi kewangan Islam lain 4 peratus dan takaful pula mencatat 2 peratus.

    Laporan berkenaan juga menyenaraikan kedudukan IFDI bagi beberapa industri kewangan Islam terkemuka di mana IFDI tahun ini adalah berasaskan model yang telah dikemas kini, mengambil kira metrik baharu berkaitan dengan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dan Islamic FinTech serta perubahan terhadap jumlah bagi setiap penunjuk.

    Lima penunjuk utama bagi IFDI adalah prestasi kewangan yang mana sebelum ini dikenali sebagai perkembangan kuantitatif, tadbir urus, kelestarian, pengetahuan, dan kesedaran.

    Negara Brunei Darussalam mengekalkan tempat pertama dalam sub-penunjuk pengawalseliaan di bawah penunjuk tadbir urus yang diukur menggunakan pengawal-seliaan dalam perbankan Islam, perakaunan khusus, tadbir urus syariah, takaful, sukuk, dana patuh syariah dan FinTech sandbox.

    Di samping itu, negara juga telah meraih tempat ke-4 bagi sub-penunjuk acara di bawah penunjuk kesedaran dan tempat ke-5 bagi sub penunjuk penyelidikan di bawah penunjuk pengetahuan.

    Manakala itu, bagi penunjuk prestasi kewangan, negara telah mencapai kedudukan ke-8 dalam aset OIFI dengan nilai sebanyak AS$2 bilion yang merangkumi aset daripada syarikat FinTech, pelaburan, kewangan, penyewaan dan kewangan mikro.

    Laporan penuh boleh didapati di laman web Refinitiv, www.refinitiv.com atau melalui e-mel pautan http://www.refinitiv.com/en/resources/special-report/Islamic-finance-development-report-2022.

     

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Utusan AS ke PBB berikrar sokong keluarga Jepun yang diculik Korea...

    TOKYO, 18 APRIL - Amerika Syarikat (AS) berdiri bersama Jepun sehingga semua warga Jepun yang diculik oleh Korea Utara beberapa dekad lalu pulang ke...