KUALA LUMPUR, 13 Mac – Penyedia perkhidmatan TV Internet, iflix, melancarkan perkhidmatannya di Myanmar bagi memantapkan penguasaannya di rantau Asia.
Pengurus iflix di Myanmar Adeana Greenlee berkata syarikat menyasar untuk mentakrifkan semula cara pengguna di negara tersebut bergembira menerusi hiburan dengan ciri-ciri yang berinovasi dan pengalaman penstriman mudah alih yang lancar.
“Sebagai pasaran mudah alih yang keempat paling cepat berkembang, Myanmar sememangnya sebuah negara paling menarik dan dinamik di dunia. Kami sangat teruja untuk memperkenalkan perkhidmatan yang pertama seumpamanya di sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kini iflix boleh didapati di 10 pasaran Asia Tenggara, dengan pelancaran di Pakistan dan Vietnam baru-baru ini.
Selain itu, iflix mengumumkan usaha sama dengan Zain, iflix Arab Saudi, bagi menyediakan perkhidmatannya di Timur Tengah dan Afrika Utara. – Bernama