GENEVA, 11 SEPT – Pasukan penyelamat Bulan Sabit Merah Maghribi akan menerima kira-kira €1 juta bagi membantu menangani kesan gempa bumi di negara itu, menurut Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) kelmarin.
Sejak gempa bumi kuat melanda pada Jumaat lalu, pasukan Bulan Sabit Merah Maghribi telah menyediakan bantuan bencana seperti perkhidmatan psikososial dan operasi mencari dan menyelamat, lapor agensi berita dpa.
Wang daripada organisasi itu akan digunakan oleh sukarelawan Maghribi bagi membeli bekalan penting di lapangan. “Cabaran ini sangat besar,” kata pengurus krisis IFRC, Caroline Holt. – Bernama
