PARIS, 5 JUN – Iga Swiatek meraih gelaran juara keduanya dalam Terbuka Perancis setelah menewaskan pemain remaja, Coco Gauff pada perlawanan akhir kelmarin, dan pemain nombor satu dunia berjaya melebarkan rekod kemenangan kepada 35.
Pemain bintang berusia 21 tahun dari Poland tersebut berjaya meraih kemenangan 6-1, 6-3 selepas 68 minit bermain di atas gelanggang Philippe Chatrier, menyamai rekod Venus Williams untuk kemenangan tanpa kalah yang pernah dicapai oleh pemain wanita pada abad ke-21 ini.
Swiatek meraikan kemenangan keenamnya berturut-turut pada tahun ini bersama dengan rakan-rakan dan keluarganya.
“Saya memberitahu Coco untuk tidak berasa sedih dan itulah saya akan lakukan. Mengucapkan syabas kepadanya,” kata Swiatek.
“Awda telah melakukan tugas dengan baik. Ketika usia begitu, ia adalah kali pertama saya menyertai jelajah dan tidak tahu apa-apa mengenainya, lambat laun awda pun akan memenanginya,” tambahnya.
Sementara itu, Gauff yang berasa sedih selepas mempamerkan aksi permainan yang tidak memuaskan, melakukan 23 kesalahan tanpa sengaja dan tiga double fault.
Pemain Amerika Syarikat berusia 18 tahun itu begitu hampir untuk meraih gelaran juara perseorangan Grand Slam termuda sejak Maria Sharapova memenangi Wimbledon pada tahun 2004.
Manakala itu, Swiatek adalah wanita yang ke-10 telah memenangi Terbuka Perancis berkali-kali dalam era kejohanan Terbuka, hanya tewas dalam satu set perlawanan semasa menentang pemain dari China, Zheng Qinwen pada pusingan keempat. Dia kini memenangi ketiga-tiga perlawanan menentang Gauff dalam kariernya, yang mara buat kali pertama ke pusingan akhir pada kejohanan utama.
Sementara itu, dalam perlawanan beregu yang berlangsung hari ini, Gauff dan pasangannya, Jessica Pegula, menerima satu lagi kekecewaan untuk meraih gelaran juara beregu setelah tewas di tangan pasukan beregu, Caroline Garcia dan Kristina Mladenovic. – AFP