IGF pinda tempoh kelayakan Sukan Olimpik Tokyo

KUALA LUMPUR, 30 APRIL – Persekutuan Golf Antarabangsa (IGF) dan Jawatankuasa Antarabangsa Olimpik (IOC) bersetuju membuat perubahan kepada sistem kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, selepas tarikh baharu penganjuran temasya itu pada 2021 diumumkan.

Justeru, pemain mula mengumpul mata kelayakan berdasarkan Ranking Olimpik Golf (OGR) sehingga tarikh akhir bagi kategori lelaki dan wanita masing-masing pada 21 dan 28 Jun, 2021, untuk mengisi 60 slot ke Sukan Olimpik Tokyo.

IOC mengumumkan tarikh baharu Sukan Olimpik Tokyo dari 23 Julai hingga 8 Ogos 2021 manakala Sukan Paralimpik dari 24 Ogos hingga 5 September 2021.

Pengarah Eksekutif IGF, Antony Scanlon, dalam satu kenyataan, berkata keputusan menentukan tarikh baharu itu dilihat sebagai kaedah yang adil untuk menentukan pemain layak ke Tokyo.

“Kami gembira IOC setuju dengan perubahan yang sangat penting ini. IGF akan terus bekerjasama rapat dengan IOC dan Tokyo 2020 mencari jalan penyelesaian terbaik kerana penangguhan temasya sukan itu telah memberi kesan kepada sukan dan atlet.

“Kami tetap komited dalam menyediakan pertan-dingan golf yang selamat dan adil, dan memberi pengalaman terbaik buat atlet apabila mereka menyertai Sukan Olimpik pada 2021 nanti,” katanya.  – Bernama