MARSEILLE, 5 JULAI – Kelab gergasi Ligue 1 Perancis, Marseille kelmarin menamakan bekas pemain antarabangsa Croatia, Igor Tudor sebagai jurulatih baharu mereka dalam perjanjian dua tahun untuk menggantikan Jorge Sampaoli.
Tudor membimbing Verona dalam Serie A musim lalu, membawa kelab itu ke tangga kesembilan dalam liga utama Itali. Dia meletak jawatan selepas gagal mencapai persetujuan bagaimana untuk membina musim cemerlang bagi kelab itu.
“Saya rasa kami telah menemui apa yang kami perlukan dalam Igor Tudor dan saya gembira untuk mengalu-alukannya ke kelab kami,” kata pemilik Marseille dari Amerika, Frank McCourt dalam satu kenyataan.
Sampaoli dari Argentina meninggalkan Marseille pada awal bulan ini disebabkan perbezaan pendapat dengan hierarki kelab selepas membimbing mereka ke Liga Juara-Juara.
Manakala itu, Tudor menghabiskan sebahagian besar kariernya di Juventus. Dia membuat sebanyak 55 penampilan bagi Croatia sekali gus beraksi di Piala Dunia 1998 dan 2006 serta Euro 2004.
Jurulatih berusia 44 tahun itu memulakan karier kejurulatihannya bersama kelab tuan rumah Hajduk Split pada 2013, sebelum bangkit dari PAOK di Greece ke Karabukspor dan Galatasaray di Turki. Dia kemudiannya berpindah ke Udinese di Itali sebelum mengambil bahagian tugasan kedua di Split diikuti peranannya sebagai pembantu Juventus dan akhirnya mengambil alih Verona pada musim lalu. – AFP