Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Jan – Pasukan IGS Titans tampil juara Kejohanan Futsal Amal Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah apabila berjaya menewaskan Pasukan Pusat Tingkatan Enam Sengkurong dengan jaringan 1-0.
Pasukan IGS Titans terdahulu pada peringkat separuh akhir telah berhadapan dengan tentangan hebat daripada Pasukan Pusat Tingkatan Enam Meragang yang memaksa perlawanan ditentukan dengan sepakan penalti yang akhirnya berpihak kepada IGS Titans.
Sementara itu naib juara kejohanan, Pusat Tingkatan Enam Sengkurong juga mendapat tentangan hebat daripada Pasukan Sekolah Menengah Arab Laki-Laki Hassanal Bolkiah yang akhirnya terpaksa akur dengan kekalahan 2-1.
Namun begitu Pasukan Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah mengubat kekalahan peringkat separuh akhir apabila berjaya menumpaskan Pasukan Pusat Tingkatan Enam Meragang dengan jaringan 1-0 untuk meraih tempat ketiga.
Sebanyak 13 pasukan menyertai kejohanan anjuran Pembimbing Rakan Remaja Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di antaranya ialah Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Pusat Tingkatan Enam Tutong dan Maktab Teknikal Sultan Saiful Rijal mewakili IBTE.

Hadir menyaksikan perlawanan akhir di Kompleks Sukan Jabatan Kerja Raya di Berakas hari ini ialah Pemangku Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat) Jabatan Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan, Haji Mohd Sharifuddin bin Haji Mohd Salleh.
Turut menerima hadiah di majlis itu ialah Awang Abdul Hanan bin Haji Abas daripada Pusat Tingkatan Enam Meragang yang dinobatkan sebagai penjaring terbanyak dan Awang Muqri bin Maidin daripada IGS Titans selaku pemain terbaik kejohanan.
































