IHP bagi Februari 2022 meningkat

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Februari 2022 telah menyaksikan peningkatan tahun-ke-tahun sebanyak 3.2 peratus berbanding dengan Februari tahun lepas.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, peningkatan IHP berkenaan adalah selaras dengan peningkatan harga bukan makanan dan harga makanan dan minuman ringan yang mana masing-masing sebanyak 3.3 peratus dan 2.6 peratus.

Peningkatan dalam komponen bukan makanan berkenaan pula didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 14 peratus, pakaian dan kasut sebanyak 10.4 peratus dan sebanyak 4.7 peratus bagi pengangkutan.

Sementara itu, kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan terutamanya disebabkan kenaikan harga insurans kenderaan. Manakala itu, peningkatan dalam pakaian dan kasut adalah disebabkan oleh kenaikan harga pakaian wanita.

Kenaikan harga kenderaan bermotor dan kos tiket penerbangan pula telah mendorong kepada peningkatan harga pengangkutan.

JPES menjelaskan lanjut, peningkatan harga makanan dan minuman ringan adalah disebabkan kenaikan harga minyak masak sebanyak 17.3 peratus, daging sebanyak 7.1 peratus serta ikan dan makanan laut sebanyak 3.9 peratus. Kenaikan pada harga makanan ini antara lainnya disebabkan kenaikan harga daripada negara-negara pengimport dan kekurangan bekalan.

Dalam pada itu, indeks yang mencatatkan penurunan tahun-ke-tahun adalah perhubungan yang mencatatkan sebanyak 0.9 peratus. Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Februari pada tahun ini meningkat sebanyak 0.8 peratus berbanding Januari. Indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing meningkat sebanyak 0.8 peratus.

IHP bertujuan untuk mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Orang ramai yang ingin mengetahui laporan penuh IHP bagi Februari 2022 boleh melayari laman sesawang https://deps.mofe.gov.bn.