Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP bulan April meningkat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Jun – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan April 2018 meningkat sebanyak 0.4 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan bulan April 2017. Harga Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.5 peratus tahun-ke-tahun. Manakala, harga Bukan Makanan mencatatkan penurunan sebanyak 0.1 peratus tahun-ke-tahun.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), peningkatan IHP bagi bulan April 2018 sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh peningkatan harga Makanan dan Minuman Ringan (2.5 peratus); Pendidikan (1.8 peratus); dan Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan (1.2 peratus). Walau bagaimanapun, ianya diimbangi oleh penurunan harga Pakaian dan Kasut (3.4 peratus); Hiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah (1.2 peratus); dan Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain (0.7 peratus).

    Harga Makanan dan Minuman Ringan meningkat berikutan peningkatan harga minuman ringan selaras dengan pengemaskinian beberapa kadar duti import dan eksais di bawah Perintah Duti Import Kastam 2012 dan Perintah Duti Eksais 2012 yang berkuat kuasa mulai 1 April 2017. Manakala, peningkatan kos Pendidikan mengambil kira kadar yuran sekolah rendah dan menengah swasta yang terpilih.

    Peningkatan harga Pelbagai Barangan dan Perkhidmatan pula adalah disebabkan oleh peningkatan bagi harga beg dan barangan perjalanan.

    Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi April 2018 menurun sebanyak 0.6 peratus berbanding dengan bulan Mac 2018. Indeks Harga Makanan dan Minuman Ringan serta Bukan Makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.6 peratus.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan. Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan April 2018 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda