Saturday, March 15, 2025
26.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP Disember 2016 turun 0.3 peratus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jan – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Disember 2016 menurun sebanyak 0.3 peratus berbanding November 2016, dengan indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan masing-masing menurun sebanyak 0.2 peratus dan 0.3 peratus.

    Penurunan indeks keseluruhan bagi Disember 2016 ini disebabkan oleh penurunan harga pakaian dan kasut (11.6 peratus) diikuti dengan perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (2.2 peratus) dan pelbagai barangan dan perkhidmatan (1.2 peratus), menurut laporan IHP Bulan Disember dan Tahunan 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

    Indeks yang mencatatkan peningkatan pada bulan ini adalah pengangkutan (2.1 peratus) dan rekreasi dan budaya (2.0 peratus). Menurut JPKE, peningkatan ini adalah berikutan kenaikan harga terutamanya bagi kereta, pengangkutan penumpang melalui udara, pakej percutian/umrah, komputer dan aksesori computer.

    Manakala itu, indeks pendidikan tidak mencatatkan sebarang perubahan berbanding bulan sebelumnya.

    Perbandingan tahun ke tahun (Disember 2016 berbanding Disember 2015) pula menunjukkan IHP telah menurun sebanyak 1.6 peratus, manakala itu bagi keseluruhan tahun 2016, IHP secara purata mencatatkan kadar inflasi sebanyak -0.7 peratus.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan Disember dan Tahunan 2016 boleh didapati melalui laman web JPKE di www.depd.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda