Thursday, June 1, 2023
34.6 C
Brunei

    -

    IHP Januari 2023 menurun 0.7%

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 MAC – Bagi bulan Januari 2023, Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun sebanyak 0.7 peratus bulan-ke-bulan berbanding bulan Disember 2022 disebabkan oleh penurunan kumpulan bukan makanan sebanyak 0.9 peratus.

    Walau bagaimanapun, kumpulan makanan dan minuman ringan menunjukkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus.

    Menurut siaran media yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik, Kementerian Kewangan dan Ekonomi, penurunan bulan-ke-bulan bagi kumpulan bukan makanan tersebut adalah disumbangkan oleh pengangkutan 3.9 peratus; rekreasi dan kebudayaan 1.3 peratus; dan perhubungan 0.1 peratus.

    Penurunan bagi pengangkutan adalah didorong oleh penurunan harga tiket penerbangan.

    Manakala, kenaikan kumpulan makanan dan minuman ringan adalah disebabkan terutamanya oleh peningkatan harga sayur-sayuran, ikan dan makanan laut dan beras dan bijirin.

    Sementara itu, bagi perubahan tahun-ke-tahun, IHP meningkat sebanyak 1.4 peratus berbanding dengan bulan Januari 2022, didorong oleh peningkatan kumpulan harga makanan dan minuman ringan, dan kumpulan harga bukan makanan masing-masing sebanyak 4.8 peratus dan 0.6 peratus.

    Peningkatan tahun-ke-tahun bagi harga kumpulan makanan dan minuman ringan adalah disebabkan oleh kenaikan harga seperti daging 9.5 peratus; beras dan bijirin 6.6 peratus; dan ikan dan makanan laut 5.6 peratus. Harga daging ayam, iaitu penyumbang utama kepada kenaikan harga daging, meningkat disebabkan peningkatan kos makanan ternakan ayam.

    Peningkatan harga beras dan bijirin pula disumbangkan terutamanya oleh kenaikan harga bahan-bahan mentah bagi kek, pastri dan biskut. Manakala, peningkatan harga ikan dan makanan laut disumbangkan oleh kenaikan harga udang segar.

    Siaran media itu seterusnya juga mengongsikan mengenai peningkatan harga di dalam kumpulan bukan makanan yang didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 4.8 peratus; restoran dan hotel 4.4 peratus; dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 2.2 peratus.

    Kenaikan harga kumpulan pelbagai barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan oleh harga insurans kenderaan yang dipengaruhi oleh harga pasaran kereta.

    Di samping itu, peningkatan bagi kumpulan restoran dan hotel adalah berpunca daripada kenaikan harga perkhidmatan katering berkontrak. Manakala, harga kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menunjukkan peningkatan disebabkan kenaikan kadar sewa kediaman.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi bulan Januari 2023 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Anda

    Jentera pelancar udara Korea U jatuh ke Laut Kuning

    SEOUL, 31 MEI – Korea Utara menembak apa yang didakwanya sebagai ‘jentera pelancar angkasa lepas’ ke arah selatan hari ini, namun jatuh ke Laut...
    - Advertisment -