IHP julai 2020 meningkat 2 peratus

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 SEPT – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Julai 2020 meningkat sebanyak 2 peratus tahun-ke-tahun berbanding Julai 2019 dengan harga makanan dan minuman ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus, manakala, harga bukan makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.9 peratus.

Statistik ini dikongsikan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, yang menjelaskan bahawa peningkatan IHP adalah didorong oleh peningkatan harga dan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan (10.6 peratus), makanan dan minuman ringan (2.2 peratus) dan pengangkutan (2.2 peratus).

Walau bagaimanapun, tambah kenyataan, peningkatan IHP ini diimbangi dengan penurunan harga dan kos restoran dan hotel (1.1 peratus) dan rekreasi dan kebudayaan (0.2 peratus).

Kenaikan bagi harga pelbagai barangan dan perkhidmatan adalah sebahagian besarnya disebabkan peningkatan harga barangan kemas, insurans dan lain-lain perkhidmatan.

Manakala itu, kekurangan bekalan dise-babkan barangan import yang terhad berikutan situasi jangkitan wabak COVID-19 di negara ini dan negara-negara jiran, telah menyebabkan kenaikan beberapa harga makanan dan minuman ringan terutama sekali bagi harga minuman ringan, sayur-sayuran dan daging yang diimport.

Peningkatan harga pengangkutan pula disebabkan kenaikan harga pengangkutan penumpang melalui darat dan udara bagi penerbangan terhad yang telah dijadualkan.

Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Julai 2020 menurun sebanyak 0.1 peratus berbanding Jun 2020. Indeks makanan dan minuman ringan menurun sebanyak 0.4 peratus manakala itu, indeks bukan makanan menurun sebanyak 0.02 peratus.

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Julai 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES www.deps.gov.bn.