IHP Mac 2019 menurun

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Mac 2019 menurun sebanyak 0.05 peratus tahun ke tahun berbanding pada Mac 2018.

Harga Makanan dan Minuman Ringan mencatatkan penurunan sebanyak 0.5 peratus sementara harga Bukan Makanan pula mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus.

Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE) dalam kenyataan hari ini menjelaskan, penurunan IHP sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh penurunan harga dan kos Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain sebanyak 3.3 peratus.

Manakala Makanan dan Minuman Ringan mencatat sebanyak 0.5 peratus dan Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah pula mencatat 0.3 peratus.

Walau bagaimanapun, ianya diimbangi oleh peningkatan harga dan kos Kesihatan sebanyak 3.1 peratus, Rekreasi dan Kebudayaan mencatat 2.6 peratus dan Pengangkutan adalah sebanyak 0.6 peratus.

Sementara harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain, menurun disebabkan penurunan harga sewa rumah dan bahan untuk penyelenggaraan dan pembaikan kediaman.

Manakala, penurunan harga makanan dan minuman ringan mengambil kira harga rendah sayur-sayuran, ayam dan telur.

Penurunan dalam perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah pula adalah disebabkan oleh harga perabot ruang tamu/ruang makan dan perabot bilik tidur yang menurun.

Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Mac 2019 meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan bulan Februari 2019.

Indeks Makanan dan Minuman Ringan meningkat sebanyak 0.1 peratus, manakala Indeks Bukan Makanan meningkat sebanyak 0.6 peratus.

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Mac 2019 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE: www.depd.gov.bn.