IHP mac meningkat 1.6 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MEI – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi Mac 2020 telah mencatatkan peningkatan sebanyak 1.6 peratus tahun ke tahun berbanding dengan Mac 2019.

Harga makanan dan minuman ringan turut mencatatkan peningkatan sebanyak 1.1 peratus manakala harga bukan makanan mencatatkan peningkatan sebanyak 1.8 peratus.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, peningkatan IHP berkenaan didorong oleh peningkatan harga dan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 10.9 peratus, restoran dan hotel mencata 4.8 peratus dan makanan dan minuman ringan pula mencatat 1.1 peratus.

Peningkatan ini diimbangi oleh penurunan harga dan kos pengangkutan sebanyak 0.9 peratus, perhubungan, 1.2 peratus dan pakaian dan kasut pula mencatat 0.7 peratus.

Kenaikan bagi harga pelbagai barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan peningkatan harga insurans manakala peningkatan harga restoran dan hotel adalah disebabkan oleh peningkatan harga perkhidmatan katering luar.

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Sementara itu, peningkatan bagi harga makanan dan minuman ringan adalah disebabkan peningkatan harga sayur-sayuran.

Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi Mac 2020 meningkat sebanyak 0.3 peratus berbanding dengan Februari 2020.

Indeks Makanan dan Minuman Ringan serta Indeks Bukan Makanan masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus dan 0.4 peratus.

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga dan laporan penuh IHP bagi Mac 2020 boleh didapati melalui laman sesawang www.deps.gov.bn.