IHP Malaysia merosot 1.3 peratus

KUALA LUMPUR, 18 OGOS – Indeks Harga Pengguna (IHP) Malaysia merosot 1.3 peratus pada Julai 2020 kepada 119.9 daripada 121.5 dalam bulan sama pada tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata penurunan indeks secara keseluruhan berikutan penurunan indeks pengangkutan (-10.3 peratus), perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (-2.6 peratus), pakaian dan kasut (-0.6 peratus), dan hiasan, perkakasan dan penyelenggaraan isi rumah (-0.1 peratus) yang menyumbang 45.7 peratus daripada keseluruhan wajaran.

“Bagaimanapun, makanan dan minuman bukan alkohol naik 1.4 peratus kepada 135.0 berbanding 133.2 dalam bulan sama pada tahun sebelumnya. Kumpulan ini menyumbang 29.5 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP.

“Selain itu, pelbagai barangan dan perkhidmatan turut menunjukkan peningkatan 2.9 peratus diikuti komunikasi (1.6 peratus), kesihatan (1.1 peratus) dan pendidikan (1.2 peratus),” katanya dalam kenyataan.

Mohd Uzir juga berkata IHP tanpa bahan api kekal berada pada kadar positif iaitu 0.2 peratus pada Julai 2020 berbanding Jun 2020.

“IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan diesel,” katanya. – Bernama