BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Julai – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Mei 2017 menurun sebanyak 0.3 peratus tahun ke tahun berbanding bulan Mei 2016. Indeks Makanan dan Minuman Ringan dan Indeks Bukan Makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.8 peratus dan 0.2 peratus tahun-ketahun.
Menurut kenyataan Jabatan Perancangan dan Kemajuan Negara (JPKE), di sini, penurunan IHP bagi bulan Mei 2017 sebahagian besarnya adalah disebabkan oleh penurunan Indeks Pakaian dan Kasut (2.3 peratus); Perhiasan, Peralatan Isi Rumah dan Penyelenggaraan Rutin Isi Rumah (2.2 peratus); Indeks Rekreasi dan Kebudayaan (2 peratus); dan Indeks Makanan dan Minuman Ringan (0.8 peratus).
Ini adalah berikutan harga rendah bagi fabrik untuk pakaian, kebanyakan pakaian, barangan perabot dan perhiasan; komputer dan aksesori komputer; dan barangan makanan seperti telur ayam dan sayur-sayuran.
Sementara bagi perubahan tempoh ke tempoh, IHP bagi Januari hingga Mei 2017 mencatatkan penurunan sebanyak 0.4 peratus berbanding dengan Januari hingga Mei 2016.
Manakala Indeks Makanan, Minuman Ringan dan Indeks Bukan Makanan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 0.9 peratus dan 0.3 peratus.
IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Mei 2017 boleh didapati melalui laman web JPKE: www.depd.gov.bn.