Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    IHP Mei turun 0.3%

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 OGOS – Bagi bulan Mei 2022, Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun sebanyak 0.3 peratus bulan-ke-bulan berbanding dengan bulan April 2022. 

    Ini adalah disebabkan oleh penurunan indeks bukan makanan sebanyak 0.4 peratus. Walau bagaimanapun, penurunan indeks tersebut diimbangi oleh peningkatan indeks makanan dan minuman ringan sebanyak 0.3 peratus.

    Menurut kenyataan yang diterima dari Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, bagi perubahan tahun-ke-tahun, IHP meningkat sebanyak 3.8 peratus berbanding bulan Mei 2021.

    Peningkatan IHP ini adalah selaras dengan peningkatan harga makanan dan minuman ringan dan bukan makanan masing-masing sebanyak 5.4 peratus dan 3.4 peratus.

    Sementara itu, peningkatan harga makanan dan minuman ringan adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan seperti minyak dan lemak 20.5 peratus, daging 11.4 peratus dan ikan dan makanan laut 6.9 peratus.

    Kenaikan harga daging ayam adalah disebabkan oleh peningkatan kos makanan ternakan ayam.

    Peningkatan harga minyak dan lemak adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga minyak masak selaras dengan peningkatan harga import berikutan peningkatan bahan input minyak sayuran dan minyak sawit. 

    Kenaikan harga daging ayam adalah penyumbang utama kepada peningkatan harga daging disebabkan oleh peningkatan kos makanan ternakan ayam. Manakala, peningkatan harga ikan dan makanan laut disebabkan oleh cuaca yang tidak menentu dan kekurangan buruh.

    Peningkatan dalam komponen bukan makanan pula didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 14.5 peratus; pengangkutan 4.9 peratus; dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain 2.3 peratus.

    Kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga insurans kenderaan. Manakala, peningkatan dalam pengangkutan sebahagiannya disebabkan kenaikan harga kenderaan bermotor dan tiket penerbangan.

    Kenaikan kos penyelenggaraan dan pembaikan tempat kediaman dan harga sewa kediaman telah mendorong kepada peningkatan harga perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan. 

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Mei 2022 boleh didapati melalui laman sesawang JPES: https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...