IHP meningkat 1.4 peratus

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 APRIL – Index Harga Pengguna (IHP) meningkat 1.4 peratus tahun-ke-tahun bagi bulan Februari 2020 berbanding Februari 2019.

Harga makanan dan minuman ringan mencatat peningkatan sebanyak 1 peratus dan harga bagi bukan makanan pula meningkat sebanyak 1.5 peratus.

Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) dalam kenyataan hari ini, menjelaskan, peningkatan IHP ini di sebabkan peningkatan harga dan kos pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 11.4 peratus, restoran dan hotel pula meningkat sebanyak 5 peratus, manakala makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 1 peratus.

Walau bagaimanapun, peningkatan IHP ini diimbangi oleh penurunan harga dan kos pengangkutan sebanyak 3.1 peratus dan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain pula mencatat 1.6 peratus.

Sementara kenaikan harga bagi pelbagai barangan dan perkhidmatan adalah disebabkan oleh peningkatan harga insurans dan peningkatan harga restoran dan hotel adalah disebabkan oleh peningkatan harga perkhidmatan katering luar.

Peningkatan bagi harga makanan dan minuman Ringan pula adalah disebabkan oleh peningkatan harga sayur-sayuran.

JPES seterusnya menjelaskan, bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi bulan Februari 2020 meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dengan bulan Januari 2020.

Indeks makanan dan minuman ringan dan indeks bukan makanan pula masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 0.9 peratus dan 0.4 peratus.

IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

Laporan penuh IHP bagi bulan Februari 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES: www.deps.gov.bn.