Thursday, May 1, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    IHP Ogos 2018 meningkat

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Okt – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi bulan Ogos 2018 meningkat sebanyak 0.3 peratus tahun-ke-tahun berbanding dengan bulan Ogos 2017 dengan harga makanan dan minuman ringan mencatatkan peningkatan sebanyak 2.2 peratus, manakala, harga bukan makanan mencatatkan penurunan sebanyak 0.2 peratus tahun-ke-tahun.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan dan Kemajuan Ekonomi (JPKE), pendorong utama peningkatan IHP adalah kenaikan harga dan kos bagi makanan dan minuman ringan (2.2 peratus); pendidikan (1.7 peratus) dan rekreasi dan kebudayaan (1.4 peratus).

    Walau bagaimanapun, peningkatan IHP ini diimbangi oleh penurunan harga dan kos pakaian dan kasut (4.7 peratus); perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah (0.8 peratus) serta perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain (0.6 peratus).

    Harga makanan dan minuman ringan meningkat terutamanya berikutan peningkatan harga ikan dan makanan laut, minuman ringan dan daging.

    Manakala itu, peningkatan kos pendidikan adalah mengambil kira peningkatan kadar yuran sekolah rendah dan menengah swasta yang terpilih. Harga rekreasi dan kebudayaan pula meningkat disebabkan oleh peningkatan harga pakej percutian haji dan umrah.

    Kenyataan menjelaskan bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP meningkat 0.1 peratus berbanding dengan bulan Julai 2018. Indeks makanan dan minuman ringan meningkat 0.6 peratus; manakala indeks bukan makanan meningkat 0.04 peratus.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi bulan Ogos 2018 boleh didapati melalui laman sesawang JPKE: www.jpke.gov.bn.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda