Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 14 DIS – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September 2021 meningkat sebanyak 2.2 peratus tahun-ke-tahun berbanding September 2020 di mana harga makanan dan minuman ringan meningkat sebanyak 2.5 peratus dan harga bukan makanan meningkat sebanyak 2.1 peratus.
Perangkaan itu didedahkan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, di sini, di mana ia menyatakan bahawa peningkatan IHP adalah didorong oleh peningkatan harga dan kos pengangkutan iaitu 7.8 peratus, makanan dan minuman ringan iaitu 2.5 peratus dan restoran dan hotel sebanyak 1.6 peratus.
Walau bagaimanapun, peningkatan berkenaan diimbangi oleh penurunan harga dan kos perhiasan, peralatan isi rumah dan penyelenggaraan rutin isi rumah iaitu 0.4 peratus, perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain iaitu 0.2 peratus serta rekreasi dan kebudayaan iaitu 0.2 peratus.
Kenyataan menekankan bahawa kenaikan bagi harga pengangkutan adalah sebahagian besarnya disebabkan oleh kenaikan harga kenderaan bermotor diikuti oleh tiket penerbangan memandangkan jadual penerbangan yang terhad.
Kenyataan seterusnya menyatakan bahawa harga makanan dan minuman ringan meningkat disebabkan oleh kenaikan harga makanan seperti ayam, sayur-sayuran dan minyak masak.
Manakala itu, kenaikan harga daging ayam adalah antara lainnya disebabkan oleh kenaikan harga makanan ayam.
Bagi sayur-sayuran, salah satu faktor yang menyumbang kepada kenaikan harga adalah harga biji benih dan baja kimia yang disebabkan oleh peningkatan caj pengangkutan dan kos penghantaran untuk mendatangkan bahan-bahan berkenaan dari luar negara.
Manakala itu, peningkatan harga minyak masak antara lainnya adalah selaras dengan kenaikan harga bahan input seperti minyak sawit.
Bagi kos restoran dan hotel, peningkatan itu adalah didorong oleh peningkatan harga dalam menu terpilih bagi katering berkontrak dan di restoran dan kafe selaras dengan kenaikan harga produk mentah.
Bagi perubahan bulan-ke-bulan, IHP bagi September 2021 meningkat sebanyak 0.4 peratus berbanding dengan Ogos 2021 di mana Indeks Makanan dan Minuman Ringan meningkat sebanyak 0.3 peratus dan Indeks Bukan Makanan meningkat sebanyak 0.4 peratus.
Kenyataan menerangkan bahawa IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.
Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperoleh melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga. Laporan penuh IHP bagi September 2021 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.