Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    IHP September meningkat 4.3 peratus

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 NOV – Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi September 2022 telah meningkat 0.2 peratus berbanding Ogos 2022, disebabkan peningkatan indeks makanan dan minuman ringan serta indeks bukan makanan masing-masing 0.1 peratus dan 0.2 peratus.

    Berbanding September 2021, IHP meningkat sebanyak 4.3 peratus di mana peningkatan berkenaan adalah selaras dengan peningkatan harga makanan dan minuman ringan, dan bukan makanan masing-masing sebanyak 6.7 peratus dan 3.7 peratus, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Kewangan dan Ekonomi dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    JPES menjelaskan bahawa peningkatan harga makanan dan minuman ringan adalah disebabkan oleh kenaikan harga makanan seperti minyak dan lemak 25.7 peratus; daging 12.8 peratus; dan beras dan bijirin 4.9 peratus.

    Manakala itu, peningkatan harga minyak dan lemak terutamanya disebabkan kenaik-an harga minyak masak dari negara-negara pembekal.

    Kenaikan harga daging ayam adalah penyumbang utama kepada peningkatan harga daging disebabkan kos makanan ternakan ayam yang tinggi.

    Manakala itu, peningkatan harga produk mi adalah berikutan dengan kenaikan harga gandum global.

    Peningkatan harga bukan makanan pula didorong oleh pelbagai barangan dan perkhidmatan sebanyak 13.8 peratus, pengangkutan 5.9 peratus dan restoran serta hotel 3.9 peratus.

    Sementara itu, kenaikan harga pelbagai barangan dan perkhidmatan terutamanya disebabkan harga insurans kenderaan yang dipengaruhi oleh harga pasaran kereta. Di samping itu, peningkatan bagi pengangkutan adalah terutamanya disebabkan oleh kenaikan harga tiket penerbangan.

    Manakala, peningkatan harga restoran dan hotel adalah selaras dengan kenaikan kos perkhidmatan katering berkontrak.

    IHP mengukur perubahan harga barangan dan perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna dalam satu tempoh masa yang ditetapkan dan dikumpulkan setiap bulan.

    Senarai barangan dan perkhidmatan dalam IHP adalah berdasarkan maklumat perbelanjaan purata sebuah keluarga yang diperolehi melalui Kajian Perbelanjaan Keluarga.

    Laporan penuh IHP bagi September 2022 boleh didapati di laman sesawang JPES melalui https://deps.mofe.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...