IHPR pengeluaran tempatan naik 8% pada Mei 2017

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Indeks Harga Pengeluar (IHPR) pengeluaran tempatan meningkat sebanyak 8.0 peratus kepada 107.5 pada Mei 2017 berbanding tempoh sama tahun lepas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Jabatan Perangkaan Malaysia berkata peningkatan tertinggi dicatatkan oleh indeks perlombongan (+16.9 peratus) diikuti pembuatan (+7.6 peratus), pertanian, perhutanan dan perikanan (+6.4 peratus), bekalan elektrik dan gas (+3.0 peratus) dan bekalan air (+0.3 peratus).

IHPR bagi pengeluaran tempatan susut 0.2 peratus pada Mei 2017 berbanding April 2017 berikutan penurunan dalam dua sektor iaitu perlombongan (-6.7 peratus) serta bekalan elektrik dan gas (-0.3 peratus).

Bagaimanapun, sektor pertanian, perhutanan dan perikanan naik 2.5 peratus, bekalan air (+0.4 peratus) dan pembuatan (+0.3 peratus).

IHPR pengeluaran tempatan mengikut peringkat pemprosesan pula turun 0.2 peratus pada Mei 2017 berbanding bulan sebelumnya berikutan penyusutan dalam indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya.

Selain itu, indeks bagi bahan perantaraan, bekalan dan komponen merekodkan peningkatan sebanyak 0.4 peratus manakala indeks barangan siap pula kekal tidak berubah. – Bernama