Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Ihsan Yayasan santuni 150 keluarga

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 APRIL – Sebanyak 150 buah keluarga yang terdiri daripada warga emas dan golongan yang memerlukan bantuan telah menerima sumbangan berbentuk kewangan dan makanan keseluruhannya berjumlah $150,400 melalui Program Ihsan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) sempena bulan Ramadan ini.

    Penyampaian sumbangan tersebut dilakukan secara berperingkat pada hari ini dan esok di keempat-empat daerah. Hari ini, penyampaian sumbangan dikendalikan di beberapa buah kampung di Daerah Brunei dan Muara yang dibahagikan kepada tiga zon, bagi zon 1 sumbangan diserahkan oleh Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; dan dihadiri sama oleh Penolong Pengarah Urusan Agensi Pelaburan Brunei, Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman selaku pemangku pengarah urusan Yayasan.

    Sementara itu, penyampaian sumbangan di zon 2 disempurnakan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, selaku timbalan pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Penyampaian sumbangan di zon 3 pula dilaksanakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku ahli Lembaga Pengarah Yayasan dan pengerusi Jawatankuasa Meneliti Bantuan-bantuan Yayasan.

    Penyampaian sumbangan akan diteruskan ke beberapa buah kampung di keempat-empat daerah esok (28 April). 

    Sumbangan tersebut akan disampaikan oleh penolong-penolong pengarah urusan dan pegawai Yayasan.

    Program tersebut adalah sejajar dengan matlamat strategik Yayasan dalam mengimbangi pemedulian terhadap keperluan asasi golongan yang memerlukan.

    Sumbangan melalui Program Ihsan Yayasan itu bertujuan untuk membantu meringankan beban perbelanjaan dalam menyediakan keperluan keluarga di bulan Ramadan supaya mereka dapat menjalankan ibadah puasa dengan sempurna dan memberikan keceriaan kepada mereka dalam menyambut Hari Raya Aidilfitri nanti. 

    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menyampaikan sumbangan kepada salah sebuah keluarga yang memerlukan.
    Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima di zon 2. – Gambar serahan Yayasan
    Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua meninggalkan salah sebuah rumah yang dikunjungi di kawasan zon 1.
    Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan melaksanakan penyampaian sumbangan di kawasan zon 3 Daerah Brunei dan Muara. – Gambar serahan Yayasan

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...