iHSE promosi keselamatan industri

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 25 OGOS – Berikutan penubuhannya pada November 2019 menerusi kerjasama dengan Pihak Berkuasa Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) di bawah Kementerian Tenaga, Kumpulan Industri HSE (iHSE) telah menjadi gabungan ahli yang terdiri daripada anggota kanan dari pelbagai industri dalam negara, yang berfungsi sebagai satu inisiatif untuk mempromosi dan mengutamakan kepentingan keselamatan dalam semua bidang industri.

Perkara tersebut ditekankan oleh naib pengerusi kumpulan, Shaikh Haji Khalid bin Shaikh Haji Ahmed, yang juga pengerusi dan pengarah urusan Kumpulan Syarikat-syarikat Serikandi semasa mesyuarat bersama buletin tatkala beliau membincang mengenai matlamat dan wawasan kumpulan.

Memetik mengenai perkara yang dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Tenaga) di Kementerian Tenaga, Haji Azhar bin Haji Yahya, pada tahun lalu, Shaikh Haji Khalid menjelaskan bahawa kumpulan berhasrat membantu mempertingkat lagi standard Keselamatan Tempat Kerja dan Kesihatan (WSH) di Brunei.

“Sejak jawatankuasa ditubuhkan pada 19 November 2019, kami telah mengadakan beberapa mesyuarat, dengan yang terbaharu dan keempat, diadakan di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam, di mana kami bercita-cita untuk mengembangkan skop wawasan kumpulan,” ujarnya.

Di antara usaha yang telah dilakukan selain pelantikan jawatankuasa adalah ahli-ahli ditugaskan dalam bidang keselamatan khusus, termasuk pelopor dalam forum tiga tahap industri seperti bahaya kemalangan besar, industri dan bukan industri; dan pasukan petugas jawatankuasa khas menumpu pada bidang keselamatan yang termasuk kerja di tempat tinggi, pengurusan kren, keselamatan dalam pendidikan dan peralatan perlindungan peribadi.

Shaikh Haji Khalid berkata menerusi perbincangan berterusan bersama ahli jawatankuasa, yang terdiri daripada ahli-ahli dari pelbagai bidang industri, ianya boleh membantu mengurangkan kemalangan sementara membantu memupuk dan menyebarkan kesedaran mengenai keselamatan daripada pegawai kanan kepada pekerja.

Beliau juga berkata kumpulan dijangka diiktiraf secara rasmi pada akhir tahun tatkala kumpulan menyiapkan kertas kerja mereka dan menunggu kelulusan dari pihak berkuasa.

Beliau berharap inisiatif berterusan akan membantu merangsang lebih banyak syarikat dari semua industri, bukan hanya sektor minyak dan gas, untuk mengutamakan keselamatan.

Shaikh Haji Khalid bergambar bersama ahli kumpulan semasa salah satu mesyuarat yang diadakan. – Gambar serahan Shaikh Haji Khalid.