Ihya Ramadan lubuk pahala warga kem. Pertahanan, ABDB

BELAIT, 18 APRIL – Bagi meraih manfaat dan pahala yang berlipat ganda di bulan suci Ramadan 1442H, Kementerian Pertahanan dan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) menjalankan siri aktiviti keagamaan di keempat-empat daerah di bawah Program Ihya Ramadan dan Program Jangkauan.

Ia bertujuan untuk mengeratkan lagi ikatan silaturahim antara Kementerian Pertahanan dan ABDB terutama dengan penduduk kampung dan masyarakat pendalaman.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, pada Jumaat, Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (3Bn TDDB) dan Jabatan Agama ABDB (JAMA’AT) bersama-sama menganjurkan program berkenaan di Kampung Melilas, Daerah Belait di mana program didahului dengan persinggahan ke Balai Ibadat Kampung Merangking untuk menunaikan sembahyang Fardu Asar.

Di Kampung Melilas, program dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan Tahlil, berbuka puasa dan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah di Balai Ibadat Kampung Melilas.

Ini diikuti dengan bacaan Doa Selamat dan jamuan malam bersama penghuni di Julangan Titah Rumah Panjang Melilas. Program kemudian diteruskan dengan sembahyang Fardu Isyak berjemaah, Sunat Tarawih dan Witir dan tadarus Al-Quran.

Hadir ialah Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, pemerintah ABDB dan Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Pertahanan dan ABDB.

Yang Berhormat Menteri Pertahanan Kedua semasa menyertai program keagamaan bersama penduduk di Kampung Merangking. – Gambar serahan Kem. Pertahanan