IIFM adakan mesyuarat ke-38 di Bahrain

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Dis – Pasaran Kewangan Islam Antarabangsa (IIFM) telah mencapai tahap kematangan yang lebih baik dan berjaya meletakkan kredibilitinya pada piawaian yang tersendiri.

Seiring dengan pencapaian itu, bagaimanapun masih terdapat banyak keperluan untuk meletakkan piawaiannya secara lebih meluas dan digunakan lebih aktif dalam pasaran dan ini memerlukan sokongan yang kuat daripada pengawal selia, terutamanya dalam pasaran perbankan Islam di seluruh GCC dan Asia.

Perkara tersebut ditekankan oleh Pengerusi IIFM, Khalid Hamad Abdulrahman semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah IIFM ke-39 yang diadakan di Bahrain, baru-baru ini.

Semasa mesyuarat tersebut, ahli lembaga menghargai segala usaha yang disumbangkan oleh IIFM dalam memudahkan aliran perdagangan terutamanya dalam pasaran merentas sempadan menerusi dokumentasi dengan menyediakan kewangan yang patuh, telus, kos efektif dan diterima secara meluas oleh piawaian dokumentasi patuh Syariah yang telah dibangunkan melalui perundingan dengan industri di bawah bimbingan para ulama Syariah yang terkenal.

Satu kaji selidik yang dijalankan oleh IIFM memaparkan peningkatan ketara dalam penggunaan piawaian IIFM oleh institusi kewangan dan pemain pasaran lain yang aktif dalam kewangan Islam.

Wakil-wakil daripada anggota pengasas dan ahli tetap IIFM ketika menghadiri permesyuaratan tersebut.

Walau bagaimanapun, lebih banyak pembaikan masih diperlukan untuk mencapai tahap pelaksanaan yang dikehendaki.

Sebagai sebahagian daripada pelan strategik tiga tahun (2017-2020), IIFM telah memulakan program kesedaran mengenai piawaiannya dengan mengadakan beberapa seminar kesedaran yang disokong oleh pengawal selia di Bahrain, Kuwait, UAE dan Malaysia dan akan meneruskan usaha ini dengan menganjurkan lebih banyak seminar dan rundingan yang disokong oleh pengawal selia di bidang kuasa yang berlainan pada tahun 2019.

Permesyuaratan tersebut juga membincangkan mengenai dua piawaian baharu yang akan diterbitkan tidak lama lagi oleh IIFM.

 Selain itu, dua lagi piawaian sedang dibangunkan di IIFM yang meliputi dokumentasi Sukuk Al-Ijarah dan Sukuk Al-Mudarabah yang akan membantu dalam mengurangkan kos dan masa yang berkaitan dengan terbitan Sukuk. Sementara itu, menurut Ketua Pegawai Eksekutif IIFM, Ijlal Ahmed Alvi, kerjasama dengan organisasi penetapan piawaian Islam dan antarabangsa yang lain adalah perlu seperti usaha gabungan yang dapat mencapai kesatuan dan kepastian yang sah untuk membawa lebih banyak inovasi, pembangunan kapasiti dan pembangunan pasaran.

Mesyuarat tersebut dihadiri oleh wakil-wakil daripada anggota pengasas dan ahli tetapnya iaitu Bank Pusat Bahrain (CBB), Bank Indonesia (BI), Bank Pusat Sudan (CBOS), Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) dan Bank Pembangunan Islam (IsDB) serta wakil institusi kewangan anggota dalam Lembaga IIFM.