IITFT, PGGMB meterai MOU

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Insurans Islam TAIB Family Takaful (IITFT) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) untuk menyediakan Pelan Takaful Gadai Janji (MTP).

Majlis penandatanganan MoU berkenaan telah diadakan di Ibu Pejabat PGGMB di ibu negara, kelmarin.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini, menandatangani bagi pihak IITFT ialah Pemangku Pengarah Urusan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd, Hajah Nornaimah binti Haji Zainip dengan disaksikan Pengurus Besar IITFT, Haji Shamsul bin Haji Muhamad.

Sementara itu, PGGMB pula diwakili oleh Presiden, Haji Yusof bin Haji Mohamad dengan disaksikan Setiausaha Agung, Haji Awang Abdul Alim bin Haji Awang Othman.

Dengan penandatanganan berkenaan, ahli-ahli PGGMB akan mendapat perlindungan daripada MTP bagi pembiayaan peribadi.

Kenyataan menjelaskan, di bawah MTP, baki perjanjian pembiayaan bersama PGGMB akan dilindungi oleh IITFT sepanjang tempoh pembiayaan. Ini akan memberikan ketenangan fikiran kepada ahli-ahli yang mana mereka tidak akan membebankan pihak lain atau ahli keluarga lain untuk membayar baki tertunggak.

Hajah Nornaimah dan Haji Yusof bergambar ramai selepas majlis menandatangani MoU di Ibu Pejabat PGGMB di ibu negara baru-baru ini. -Gambar serahan IITFT