Friday, October 11, 2024
30.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    IITGT adakan taklimat STDR

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 23 MEI – Insurans Islam TAIB General Takaful Sdn Bhd (IITGT), hari ini, telah mengadakan Taklimat Skim Takaful Duyufur Rahman (STDR) bagi Rombongan Pegawai Perubatan Haji Kementerian Kesihatan sesi 2023.

    Sesi taklimat yang berlangsung di Dewan Al- ‘Afiah, Kementerian Kesihatan itu diselajurkan dengan penyampaian STDR bagi rombongan pegawai haji kementerian berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menerima skim berkenaan untuk rombongan pegawai haji kementerian berkenaan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Haji Maswadi bin Haji Mohsin.

    Penyerahan replika skim berkenaan telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei selaku Ahli Lembaga Pengarah Insurans Islam TAIB Holding Sdn Bhd dan Anak-anak Syarikat, Awang Edzwan Zukri bin Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Adnan.

    Terdahulu itu, Pengurus Besar IITGT, Haji Zamrin bin Haji Abdul Ghani dalam ucapan alu-aluannya antara lain menjelaskan, kerjasama antara IITGT dengan Kementerian Kesihatan itu menggambarkan kepercayaan tinggi pihak kementerian kepada IITGT dalam keupayaannya untuk menyediakan perlindungan yang terbaik di bawah skim takaful berkenaan.

    “Ini bukan sahaja untuk pegawai perubatan tapi jua untuk jemaah haji Negara Brunei Darussalam keseluruhannya,” ujarnya.

    Skim yang ditawarkan oleh IITGT itu menyediakan perlindungan takaful berkaitan haji yang komprehensif untuk semua pegawai perubatan Kementerian Kesihatan sepanjang musim haji tahun ini.

    Perlindungan itu merangkumi kemalangan diri, perbelanjaan perubatan, ketidakselesaan perjalanan kepada bantuan perubatan dan penghantaran pulang.

    Taklimat telah disampaikan oleh Pegawai Eksekutif Kanan IITGT, Haji Mohd Faizal bin Haji Wahab.

    Haji Maswadi bergambar ramai bersama rombongan pegawai perubatan haji Kementerian Kesihatan dan tetamu khas yang hadir pada majlis tersebut.
    Awang Edzwan Zukri menyerahkan replika skim berkenaan kepada Haji Maswadi.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda