Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Nov – Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITH) akan mengelolakan kempen derma darah pada 11 November ini di Pejabat Insurans Islam TAIB General Takaful, di Kampung Kiulap dari jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.
Kempen bertema ‘Hero in Disguise’ yang dikelolakan dengan kerjasama Pusat Perubatan Jerudong Park (JPMC) itu diadakan bersempena Hari Memperingati Mangsa-mangsa Jalan Raya Sedunia.
Sehubungan itu, IITH dalam kenyataannya, mengalu-alukan orang yang ingin menjadi ‘Hero in Disguise’ datang menyumbangkan darah dan 100 penderma awal akan menerima cenderamata daripada IITH.
Kempen tersebut bertujuan untuk menanamkan konsep dan budaya kerja amal untuk mengekalkan bekalan darah yang mapan. Ia juga mencerminkan usaha IITH untuk mempromosikan dan meningkatkan gaya hidup sihat, kerana menderma darah merupakan faktor utama dalam mengatasi beberapa masalah kesihatan.
IITH dalam kenyataannya turut berkongsi beberapa tip yang disarankan oleh JPMC untuk penderma berpotensi yang ingin menderma darah pada kempen itu nanti.
Sebelum menderma darah, penderma disarankan untuk minum banyak air atau jus buah pada malam atau pagi sebelum derma darah, yang akan membantu mengekalkan tekanan darah pada paras normal dan terhidrasi yang menyebabkan penderma kurang cenderung menjadi pening atau rasa pening.
Penderma juga tidak digalakkan untuk menderma darah selepas mendapatkan rawatan pergigian. Jika ia hanya prosedur pergigian kecil seperti mendapatkan tampalan atau pembersihan, orang ramai boleh menderma darah selepas 24 jam.
Rawatan pergigian besar yang melibatkan pendarahan, antibiotik dan dos anestesia berat akan menghalang orang ramai daripada menderma darah selama sebulan. Tabung-tabung darah sentiasa memikirkan kesejahteraan penderma dan pesakit, kedua-dua pihak perlu berada dalam keadaan baik.
Selain itu, penderma juga tidak boleh minum minuman beralkohol atau mengambil ubat 24 jam sebelum menderma darah dan perlu mempunyai tidur malam yang baik dan secukupnya kerana tubuh manusia mengembalikan sel-sel pada waktu malam bermakna sel-sel darah menjadi lebih sihat apabila tubuh cukup rehat.
Semasa menderma, para penderma dinasihatkan untuk memakai kemeja-t yang ringan dan selesa dengan lengan pendek atau baju lengan panjang yang mudah digulungkan ke siku. Penderma diingatkan untuk membawa kad pengenalan diri.
Selepas menderma darah, penderma dinasihatkan untuk berehat selama 10-20 minit bagi memastikan penderma dalam keadaan baik.