Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    IJR, IPM&M menurun pada Q3 2021

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 30 DIS – Prestasi Indeks Jualan Runcit (IJR) di Negara Brunei Darussalam pada suku ketiga (Q3) 2021 telah menunjukkan penurunan tahun-ke-tahun sebanyak 5.2 peratus dengan nilai jualan runcit dianggarkan sebanyak $386.8 juta.

    Indeks Perkhidmatan Makanan dan Minuman (IPM&M) juga telah menurun sebanyak 12.3 peratus berbanding Q3 2020 dengan nilai hasil jualan dianggarkan sebanyak $74.1 juta, menurut Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statstik (JPES) dalam kenyataan hari ini,

    Kenyataan menambah, bagi jualan runcit, hampir kesemua aktiviti runcit telah menunjukkan penurunan jualan dan ini didorong terutamanya oleh jualan minyak kenderaan di stesen-stesen minyak yang menurun sebanyak 20.9 peratus.

    Ini diikuti dengan jualan peralatan perabot dan rumah menurun sebanyak 19.5 peratus, jualan tekstil, pakaian dan kasut (18.1 peratus) dan jualan di gedung serbaneka (2.5 peratus).

    Manakala itu, bagi perkhidmatan makanan dan minuman, penurunan jualan didorong oleh hasil jualan bagi aktiviti penyajian minuman sebanyak 24.9 peratus, diikuti dengan restoran sebanyak 17.4 peratus dan kedai makanan segera (2.2 peratus).

    JPES menjelaskan, ini adalah selaras dengan pengurangan aktiviti jualan berikutan kes tempatan baharu jangkitan COVID-19 yang dikesan di negara ini pada 7 Ogos, 2021.

    Penurunan berkenaan juga selaras dengan langkah-langkah pengawalan yang diperketatkan semula seperti tidak membenarkan penyajian makanan secara dine-in bagi restoran dan premis-premis makanan yang lain termasuk gerai.

    Berbanding dengan suku kedua (Q2) 2021, IJR pada Q3 2021 telah menurun sebanyak 17.1 peratus, terutamanya disebabkan penurunan jualan tekstil, pakaian dan kasut sebanyak 60.5
    peratus.

    Ini seterusnya diikuti dengan jualan peralatan perabot dan rumah sebanyak 41.3 peratus; jualan peralatan elektrik dan peralatan pencahayaan isi rumah di kedai khusus (19.9 peratus); jualan di stesen minyak (19.3 peratus); dan jualan di gedung serbaneka (17.7 peratus).

    Sementara itu, bagi IPM&M pula, ia telah mencatatkan penurunan sebanyak 19.1 peratus pada Q3 2021 berbanding Q2 2021 dan ini disebabkan penurunan hasil jualan bagi restoran sebanyak 22.4 peratus, diikuti dengan kedai makanan segera sebanyak 15.4 peratus dan aktiviti penyajian minuman (4.9 peratus).

    IJR dan IPM&M adalah petunjuk awal prestasi ekonomi bagi kedua-dua aktiviti dan memberikan gambaran trend perbelanjaan pengguna di Negara Brunei Darussalam bagi setiap suku tahunan.

    Laporan penuh bagi kedua-dua aktiviti boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...