Ikan bilis dalam bekas guni makanan khinzir dirampas

BANDAR SERI BEGAWAN, 2000 – Pegawai Lembaga Mengeluarkan Permit Import Halal dan Lembaga Bandaran Bandar Seri Begawan merampas ikan bilis yang disimpan di dalam bekas guni makanan khinzir.

Ikan bilis itu didatangkan dari luar negara untuk dipasarkan kepada penjaja yang berniaga di Tamu Sungai Kianggeh.

Rampasan itu dibuat pihak berkuasa kerana khuatir guni makanan itu pernah digunakan atau dibawa ke kandang khinzir semasa memberi makan binatang itu sebelum ia digunakan untuk menyimpan ikan bilis.

Jabatan Kastam Sungai Tujoh Kuala Belait pada bulan Februari (2000) juga pernah merampas lebih 200 kilogram ikan bilis yang dimuatkan ke dalam tujuh bekas guni makanan khinzir yang dibawa masuk oleh seorang lelaki warga asing.

Hasil tangkapan itu, Jabatan Hal Ehwal Ugama dan Jabatan Kastam dan Eksais Diraja memutuskan untuk memusnahkan ikan bilis itu dengan membuangnya ke dalam Sungai Belait berhadapan dengan Dermaga Kastam dan Eksais Diraja cawangan Kuala Belait. Pemilik ikan bilis itu merayu supaya barangnya dikembalikan dan berjanji akan menjualnya kepada peniaga bukan Islam di Miri. Bagaimanapun Jabatan Kastam menolak permintaan itu.

Lelaki itu dibebaskan dengan amaran supaya lebih berhati-hati dalam memastikan barang makanan yang dibawa masuk untuk dijual kepada peniaga di negara ini tidak menyalahi peraturan Jabatan Kastam atau Jabatan Ugama.

Sehubungan itu, Lembaga mengeluarkan permit import halal mengingatkan orang ramai terutama peniaga Islam supaya berhati-hati dalam membeli dan menjual barang makanan terutama yang didatangkan dari luar negara yang tidak diketahui kebersihan dan tempat penyimpanannya.